Khamis, Disember 27, 2012

jiwa mereka jiwa aku hanya satu

Kaum Ibu ralit gelak tawa saling bertukar cerita kejayaan anak emas. Berjawatan tinggi, pegawai besar. Semuanya kerja yang layak disembah oleh ribuan manusia. Ibu - ibu tersebut gembira apa yang dikecapi oleh si anak.

Tapi, Ibuku jarang sekali berkumpul dan berborak akan perihal anak - anak. Seringkali dia mengelak dari mulut masyarakat yang dahagakan sesuatu hal. Dia hanya sekadar menumpang gembira akan kejayaan anak para teman - temannya. Ada tikanya dia perlu bersuara untuk memuaskan pertanyaan mereka. Tatkala itu, wajahnya yang senantiasa terukir senyuman manis, aku tahu di dasar hatinya ibarat kulit yang tercucuk selumbar.

Tangisan jiwa seorang Ibu.

Sering aku memohon ampun di dalam kotak hati yang tidak berpenghuni. Mengadu pada tuhan, ampunkan anak yang durhaka ini. Kerana menghuru - harakan hati seorang ibu hingga gundah gulana.

Aku tidak mampu gembirakan hati ibubapa dengan berpasang - pasang kot hitam berjenama dunia, kasut kilat dari butik barat, kereta yang bulan - bulan dibayar sebanyak wang gaji seorang peguam. Juga dengan sekeping kertas kuning yang digulung bermohor dari orangnya separuh tuhan.

Aku buta dunia!

Ibu, Ayah! aku punya cita yang lebih dari itu. Ingin aku menghasilkan sebuah kapal, agar dapat mencabul langit ketujuh. Berkawan dengan Sang Pencipta ribuan juta jiwa. Disana.

Ibu, ayah! aku tidak punyai material yang banyak, ambillah jiwa aku. Untuk didagangkan pada hatimu yang gundah. Mungkin jiwa aku lebih mahal dari seutas rantai emas, atau tidak lebih dari selipar cabok.



Pusat Kota Alor Setar.
Selasa, 3:00 petang.
25 disember 2012.
12 Safar 1434 H.




Rabu, Disember 12, 2012

sebenarnya mereka adalah hamba

mereka semua penzina,
sanggop senggama di depan tuhan,
sungguh maha berani penzina celaka itu,
tiada rasa hamba dalam jiwa,

disoal, dimarahi,
benar - benar hati mati,

tunggulah,
tika sang pencipta murka,
maharaja kembali hamba,

si penyoal,
sama si penzina,
sama - sama rebah,
dimakan bumi,
celakalah semua,

balasan untok segerombolan,
kerana penzina,
pelaku dosa.

Ahad, Disember 02, 2012

kembali untuk bermimpi

Aduh! sakitnya leher. Lenguh satu badan. Lama benar aku tidur. Rasanya sudah berhari - hari. Eh! berbulan - bulan rasanya. Pinggang ni rasa kebas sangat - sangat.

Banyak yang aku telah aku tinggalkan. Keluarga, sahabat, cinta, dunia. Segalanya dalam bentuk fizikal. Sesekali lahir juga rasa rindu aku pada mereka. Luahan perasaan.

Sudah jauh pengembaraan aku ketika sedang tidur. Pengembaraan ini bermula ketika aku tertanya - tanya tentang teka teki di dalam fikiran. Aku ghairah untuk mencari sang jawapan dari setiap teka teki yang telah lama aku simpan. Dari satu tempat ke satu tempat, di setiap ruang mimpi aku cabul. Dan aku temui jua sang jawapan. Tapi belum cukup kuat.

Hingga tiba - tiba aku terjaga dari ruang mimpi, bertemu realiti. Ruang itu terus hilang diganti realiti.

Aku mahu kembali di dalam mimpi itu lagi, terus mencari sang jawapan. Aku perlu korek dengan lebih dalam. Mencabul segala apa yang ada. Ruang itu terlalu dalam untuk dihabisi oleh aku seorang.

Tekak benar - benar haus ni. Minum sebentar.

Sambung tidur.

Jumaat, November 16, 2012

perbualan dengan Paksu Yob

Yang ni nama apa?
Saya ka?
Ya.
Nama saya Megat Khairulizwan Bin Megat Shaharin.
Dok di mana?
Aaa.. Saya dok di Mergong, Alor Setar.
Belajar di mana?
Saya bekerja.

Megat ni kena selalu jaga mata.
Ya, baik. InsyaAllah.

Isnin, November 12, 2012

pembaziran yang tidak sepatutnya

Tiadakah mereka rasa bersalah apa yang mereka lakukan?

Makanan seringkali dibaziri. Alasan kebiasaannya, sudah kenyang, tidak sedap, tadi nampak macam sedikit. Kalau sudah berkali - kali kau membazir, masa akan datang kau kurangkanlah apa yang kau makan. Seharusnya kau lebih tahu keupayaan diri sendiri. Jangan haloba macam kau boleh langsaikan semuanya.

Aku sedih melihat makanan yang banyaknya dibuang, dek sikap manusia. Hal ini mungkin remeh bagi orang lain, tetapi tidak bagi aku.

Kau ada wang? ya! aku tahu. Jangan kau ceritakan pada aku. Kau cerita pada tuhan nanti.

Khamis, November 08, 2012

aku pelik, kau pelik - pelik

Ruang - ruang sekeliling menjadi pelik di muka bumi, pelik di mata manusia yang melihat, yang mendengar, yang bercakap. Memang benar - benar pelik.

Pelik ya? aku pun pelik juga.

Peliknya baju dia,
peliknya cara dia,
peliknya bicara dia,
peliknya pemikiran dia,
peliklah semua tentangnya.

Dan sekarang aku pulak yang pelik, dari pandangan manusia yang pelik - pelik.

Kau pun pelik juga?


Cinta pada - Nya, cinta selamanya.

Sabtu, November 03, 2012

apabila tuhan marah

Kelmarin agama kita dihina dengan tayangan video yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. Nabi yang akan memberi syafaat kepada kita, yang kita sayangi. Kekasih Allah dan makhluk yang paling mulia.

Dan hari ini, murka tuhan dapat dilihat dengan terjadinya ribut Sandy di Kota New York. Juga berdekatan kediaman si pengarah video dan si pelakunnya.

Satu kebetulan? Oh! Tentunya tidak!


Aku bersimpati untuk mereka yang tidak berdosa.

Isnin, Oktober 29, 2012

daging

Mahu makan apa hari ini?

"Kita makan daging sahaja minggu ini. Hingga kehabisan stok."

Khamis, Oktober 25, 2012

kita jumpa lagi

Minggu ni sibuk sikit, kejan itu, kejan ini. Buat masa sekarang, aku letakkan pen sekejap. Nak selesaikan seperkara, dan sibuk dengan persiapan raya korban.

Apa - apa pun Selamat Hari Raya Aidiladha., atau Hari Raya Korban, atau Hari Nahar.


Maaf semua.

Sabtu, Oktober 20, 2012

bila dipuji, bukan dipuja

Tolong jangan memuji,
aku takut jatuh,
sukar untuk aku bangkit semula.

Tolonglah.

Khamis, Oktober 18, 2012

khayalan pesakit

aku sanggup teman kau malam ini,
sama - sama merasa,

kau berehatlah,
kau tidurlah,
cuba lupakan dunia sebentar,
yang sering takutkan kita,
jangan risau,
aku ada disisi,
menemani setiap saat,
walau dalam lena,

hingga kau benar - benar sihat,
aku ikhlas.

"Bidadari, aku harap kau wujud."


Rumah Batu,
28 Zulkaedah 1433h,
Ahad, 14/10/2012.

Rabu, Oktober 10, 2012

kasih ali kepada kucing

Jalan raya sesak. Seekor anak kucing dilanggar.

Ali segera turun dari kenderaan menyelamatkan anak kucing. Ikhlas. Tanpa menghirau kenderaan yang berpusu - pusu. Seorang pemuda nasihat agar tidak diselamatkan anak kucing itu,dikhuatiri akan membuatkannya tersiksa kesakitan kalau hidup.

"Habis! cuba kalau kau sedang nazak, tiada satu orang pun disebelah kau, mengajar kau mengucap! apa kau mahu keadaan begitu?!" bisik marah dalam hatinya.

Anak kucing itu diusung di tepi jalan. Nafasnya tercungap - cungap. Segera Ali memasukkannya di dalam raga dan segera berhempas pulang.

Setibanya di rumah, Ali meletakkannya di atas baju lama yang tidak di sarungkan lagi. Mencapai sebotol minyak gamat untuk dilumurkan pada kaki anak kucing itu, sambil memujuknya. Seraya berkata "Ala comel, bukan sakit pun. Nanti - nanti baik la. Jangan menangis. Sabar ya!".

Ali masuk mandi sebentar. Dibiarkan kucing itu bersama ahli keluarga Ali. Sesudah selesai mandi, Ali bergegas mahu keluar sebentar. Kelihatan anak kucing itu sangat tenat, dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Sedih menyelubungi Ali bersama perasaan bersalah.

Keesokan harinya, Ali menanamnya sambil ditemani rasa hiba.

Ahad, Oktober 07, 2012

tentera dajjal yang kejam

Sekarang berlaku satu peperangan hebat di Bumi Islam, iaitu Palestin. Sebenarnya ini bukan politik semata - mata. Peperangan ini berlaku gara - gara kumpulan Syiah yang semakin ganas melebarkan empayar mereka.

Kini dunia sudah mengenali mereka. Pemerintahan kuku besi.

Berperang dengan ahli sunnah wal jamaah adalah satu jihad bagi mereka. Bunuh anak - anak kecil yang tidak berdosa, kaum hawa diseksa dengan kejam sekali. Mereka ketawa.

Kita harus mengambil tahu tentang ini, mereka saudara kita. Diam kita, adalah membunuh saudara kita.

"Ya Allah! ketika dunia semakin kiamat, kau jadikanlah kami dari golongan yang benar!"

Dan sekarang kumpulan Syiah sudah merebak di Malaysia, mereka seperti kita, mereka ada di sekeliling kita tanpa kita ketahui. Berjagalah.

Info tentang Mazhab Syiah.
Info tentang Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tontonlah video di Youtube, kamu akan menangis melihatnya.

Rabu, Oktober 03, 2012

sekejap ya sekejap tidak

Ayah kata aku jenis orang yang minat sesuatu hanya sekejap, tidak lama. Kemudian, akan bosan dan ditinggalkan begitu saja. Dari aku kecil hinggalah sekarang.

Naluri seorang ayah tahu kemampuan seorang anaknya.

Dulu aku nafikan, aku tunjukkan yang aku bersungguh - sungguh. Tetapi sekarang, aku sedar yang minat aku pada sesuatu hanya separuh jalan.

Ada juga yang tak sampai separuh.

Banyak benda dalam hidup yang aku minat, aku suka, aku nak lakukan. Akhirnya, semua menjadi bubur kerana aku hilang minat. Minat aku lahir pada permulaan, tidak hingga ke akhir.

Aku berharap, harap sangat - sangat. Satu hari dapat aku tunjukkan sesuatu minat, yang aku kerjakan hingga berterusan. Dan bukan separuh jalan.

Dengan izin-Nya. InsyaALLAH.

Selasa, September 25, 2012

sebentar ya, aku nak cuci dulu

Aku nak menulis, tapi otak nazak.

Pandangan aku beralih pada sebilah pisau,
aku capai dan terus menghiris kulit kepala,
pelan - pelan aku lakukan,
selesai itu aku potong pula tengkorak,
sakit memang sakit, aku tahan,
aku teruskan juga hingga aku keluarkan seketul otak,

hanyir, lembut, berdaki,
darah selerak berlumuran.

Ya! memang benar otak sudah nazak,
aku bergegas ke dapur mencucinya,
sental hingga benar - benar bersih.

Nampaknya, memang lama benar aku tidak mencucinya,

kemudian aku tinggalkan sementara ditepi,
biarkan otak itu kering,
harap - harap otak itu sihat semula,
seperti sediakala,

kerna tanpa otak aku tidak boleh berfikir,
berimaginasi, dan menulis.

Dan sekarang aku tidak berotak!

Jumaat, September 07, 2012

semangat yang hilang

Berhari - hari, berminggu - minggu, dan sekarang sudah berbulan - bulan.

Aku fikir, kerja - kerja pembaikan tidak selama berbulan - bulan. Dengan berbekalkan semangat yang berkobar - kobar, aku rasa boleh disiapkan dengan kadar yang segera.

Tetapi tidak juga.

Sekarang semangat aku semakin parah. Dimamah masa, dan juga pitih. Hinggakan aku rasa mahu ja di buang dari pandangan dan kehidupan.

"Boy! bila qeta hang nak siap? aku nak naik.". Adik aku tertanya - tanya.
"Wei! aku tak sabaq nak naik qeta hang ni. Cepat la bagi siap!". Sahabat - sahabat yang lain pun turut bersuara.

Soalan - soalan itu menjadi penyebab untuk aku lupakan hasrat aku tentang pelupusan dari pandangan dan kehidupan. Dan sekarang aku memilih untuk teruskan apa yang aku mulakan.

"Permulaan belum berakhir".

InsyaAllah.



Jumaat, Ogos 31, 2012

tanggal 31

Aku memilih untuk tidak mengibarkan bendera, cukuplah sekadar aku memahami apa itu semangat patriotik. Bukan sekadar laungan dan sambutan.

Anak - anak muda menjadi liar di malam sambutan. Maksiat bersepah mengalahkan sampah. Minuman keras laris terjual.

Dan kita diistiharkan merdeka.

Sabtu, Ogos 18, 2012

maaf dan raya

anak kecil bermandi peluh,
tengit seluruh badan,
riang malam - malam terakhir,
bermospeda di hadapan masjid,
di dalam kampung,
boom, bang, boom,
teriakan bahan api,
ghairah anak muda,
yang sedikit tua menjadi ketua,
katanya perlu dipatuh,
anak - anak kecil,
tipu mereka kita tahu,
kerna kita juga anak - anak kecil,
sebelum kita sekarang.

Tiada lagi nawaitu untuk esok,
maaf semua.

Kampung Seberang Pumpong,
Alor Setar,
30 Ramadhan 1433h
Sabtu, 18/08/2012.

Ahad, Julai 22, 2012

alhamdulilah alhamdulilah alhamdulilah

Ramadhan ke dua.

Alhamdulilah. Aku masih diberi nafas, masih ada keluarga, masih ada kawan, dikurniakan tubuh badan yang sihat, rezeki juga bertambah.

Alhamdulilah.

Sehingga hari ini, aku macam tak percaya yang aku sudah berada di satu dunia yang baru, yang segar. Dulu aku pernah bertanya pada diri sendiri, "agak - agaknya bila aku nak sedar dari mimpi dunia?". Tapi sekarang, Alhamdulilah. Yang penting kita kena ikhlas dengan Tuhan.

Doa juga hendaklah berserta air mata. Jangan pernah malu.

Selamat beramal di bulan Ramadhan Al - Mubarak. Jadikan bulan Ramadhan ini seolah - olah bulan terakhir dalam hidup kita.

Alhamdulilah sekali lagi.

Isnin, Julai 09, 2012

duit segala - galanya

Kalau kau makan tak habis jangan kau ambil lebih dari kemampuan kau, nanti kau membazir. Kau terlalu ikutkan nafsu. Bukan sekali dua, berkali - kali kau ulang perangai yang sama.

"tak perlu ceramah kat aku. Aku makan aku bayar, duit aku!"

"Ok, Duit kau."



Selasa, Jun 26, 2012

aku gayat malam itu

pejam rapat,
mulut berkumat,
perlahan - lahan,
ikut rentak,

pejam rapat,
sejuk meratah tulang,
masih perlahan,
rentak kian laju,

pejam rapat,
pelantun semakin yakin,
badan mengikut irama,
ringan,

pejam mata,
gayat menyelubungi,
tingginya di atas awan,
tidak berlapik,
dunia aku tinggalkan,

wang, keluarga, kasut,
katil, rumah, blog, kucing,
gadis seksi,
semua aku lupakan,
semata - mata,

malam semakin liar,
bersama segerombolan.


10.32 malam,
25 Jun 2012,
5 Shaaban 1433h,
Dewan penghawa dingin.

Rabu, Jun 20, 2012

makan bola, tidur bola, mandi bola

Game semalam sapa menang?
Berapa biji gol?
Esok kumpulan mana lawan?
Hang rasa kumpulan mana menang?

Hari - hari soalan yang sama.

Aku bukan kaki bola, aku kaki bangku. Dari dulu sampai sekarang. Aku tak minat bola la bro. Bukan aku la nak berjaga 2, 3 pagi semata - mata mengadap benda tu.

Ada orang kata kalau tak minat bola bukan lelaki normal. Memang aku bukan lelaki normal pun.

Musim bola nak habis dah. Aaammiinnnn.


Isnin, Jun 18, 2012

up-to-date

Pakaian mereka, rambut mereka, gaya mereka, telatah mereka, semuanya aku kritik. Kritik dari hujung rambut hingga ke hujung ibu jari kaki.

Konon - kononnya fesyen up-to-date. Orang pakai baggy, kau pun pakai. Orang makan asap rokok, kau pun turut makan asap. Sampai kau lemas dengan fesyen. Fesyen yang kau nak orang hormat kau, sembah kau.

Mulut aku memang cilaka. Ya, aku tahu. Biar makan dalam.

Sebabnya, aku juga pernah up-to-date hingga sekarang. Aku kritik untuk diri aku dan orang - orang yang semacam aku, kritik hingga aku benar - benar sedar. Walaupun hingga sekarang masih separa sedar.

Riak.

"Untuk apa aku pakai baju ni?"
"Kenapa mesti aku beli kereta mahal - mahal?"
"Aku belajar main gitar untuk apa?"

Jawapan kau sendiri sudah ada, tapi kau berat nak nyatakan hakikatnya, dan kau nafikan. Ok, aku bagi sebab - sebab aku. Aku nak orang sekeliling lihat fesyen pakaian aku yang lain dari yang lain, untuk menunjukkan aku berwang juga untuk tontonan si gadis - gadis. Inilah hakikat yang ada dalam diri aku.

Aku menjadi riak. Up-to-date membuatkan aku semakin riak.

Kau! kau! kau semua! sudah - sudahlah up-to-date. Jangan jadi macam aku. Aku tak boleh buang sifat riak ini terus dalam diri aku, tapi aku boleh belajar kikis perasaan riak dalam diri. Sikit demi sedikit aku kikis. Riak yang berat aku jadikan ringan - ringan hingga hilang.

Hilang? mustahil.

Kau belajarlah kritik diri sendiri. Kau takkan rugi. Kau akan sedar apa yang kau buat tu sebenarnya hanyalah untuk meraih pujian orang sekeliling. Riak.

Untuk peringatan diri aku dan kawan - kawan sekeliling. Up-to-date tu biarlah dari segi positif keseluruhannya.

Kau terasa? baguslah.

Khamis, Jun 14, 2012

godaan si putih hitam

sayang, jangan kau merayu lagi,
sayang, sudah - sudahlah meminta,
sayang, berhentilah menagih simpati,
sayang, jangan menyeksa hatiku lagi,
sayang, jangan teriak di hadapan aku,
aku tak sanggup lihat keadaan kau macam ni sayang.

friskies habis dah, esok aku belikan okey? mari sini aku nak peluk.

Isnin, Jun 11, 2012

selamat tidur ya

Ahh...

Hari ini hari sabtu yang meletihkan. Selamat tidur kupu - kupu malam.
 

Kedah-Georgetown-Kedah
11 malam
09 Jun 2012


Sabtu, Jun 09, 2012

dia perogol tegar, dan dia penagih dadah

Aku rasa kalau orang menegur kita tidak menutup aurat, tak kira la dia tu penagih dadah ka, peminum arak ka, perogol misteri ka, pembunuh ka, atau sesiapa saja. Kita sama sekali tidak boleh menolak kata - katanya.

Sebabnya, dia hanya sekadar menyampai apa yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Memang itu peraturan - peraturan-Nya. Kita mengaku beragama Islam. Jadi kita perlu mengikut undang - undang Tuhan.

Tidak perlu kita membalas kata - kata si penegur dengan membangkang, kerana ia ibarat melawan hukum tuhan.

Betul ker apa yang aku taipkan ni?

Rabu, Jun 06, 2012

hanya kami bertiga saja malam itu

Blup! blup! enjin kereta mati.

Minyak habis pulak time - time macam ni, memang dugaan betoi. "Aku nak balik ambik moto beli minyak, hang tunggu sini sat Angah, jaga kereta. Walaupun buruk, tapi berharga", kata aku kepada Angah.

Hanya kami bertiga saja, Wan, Angah, dan aku.

"Aku ikut hang wei!", kata Wan sambil berjalan mengikut dari belakang. Aku takmau tunggu sini wei, aku nak ikut hampa jugak. Angah turut bersuara.

"Penakut la hang Angah, dok la sini sat".

Kami bertiga tolak kereta ke menuruni jambatan. Di depannya ada kedai, rasanya lebih selamat aku letak kereta disana.

Disini, Angah lebih selamat dari bahaya, sebab disini cerah disuluh lampu jalan. Aku dan Wan berjalan pulang ke rumah meninggalkan Angah bersama kereta. Kami melalui sebatang jalan Kampung. Ianya lebih dekat.

Jam tangan menunjukkan sudah pukul 1.34 pagi.

Lampu jalan hanya beberapa tiang saja setiap perjalanan, itupun malap. Kami terus berjalan, hanya ditemani bunyi tapak kaki kami saja yang kedengaran buat masa sekarang, dan suara kami bergelak ketawa mempersendakan Angah yang ketakutan.

Setibanya kami di depan masjid, sebelahnya tanah perkuburan. Wan tidak berkata apa - apa. "Aku tahu dia mesti tengah takut", kata aku dalam hati.

Pulangkan! Pulangkan! aku menakutkan Wan dengan nada yang sangat garau. Wan marah. "Hang ni jangan main - main, satgi jadi sunggoh baqu hang tau". Aku ketawakan Wan.

Tang! Tum! bunyi sesuatu.

Aku toleh ke belakang, tiada apa - apa pun yang kelihatan. Tapi, bunyi macam ada benda jatuh atas bumbung. Tiba - tiba bulu aku meremang. Seram sejuk seluruh badan. Perasaan seronok bertukar menjadi takut.

"Wan! hang rasa dak apa yang aku rasa?!". Wan diam, mukanya toleh ke bawah. "Woi! hang ni awat senyap ja?!". Aku dekati Wan, dan pegang bahunya.

Hahaha! Hahaha! Wan ketawa terbahak - bahak, mukanya pucat, matanya merah.

Suaranya pun sudah lain. Aku bertambah takut. Wan sudah dirasuk barangkali. Dia memegang tangan kiri aku dengan kuat sekali. Kekuatan itu nampaknya bukan kudrat manusia biasa. Tangan kanan aku cepat - cepat membuka ikatan tangannya untuk melepaskan diri.

"Aku mahu kau mati!", kata Wan dengan suara yang sangat marah.

Bau kemenyan sangat kuat. Hanya kami berdua disini. Aku betul - betul takut.

Tanpa berfikir panjang aku terus flying kick dengan sekuat hati tepat di perutnya. Wan jatuh. Doa - doa yang diajar ustaz semasa mengaji dulu hilang dari ingatan tatkala aku dalam ketakutan.

Terus aku berlari dengan berkaki ayam meninggalkannya. Sekarang ni aku hanya mahu segera sampai di rumah. Rasa penat aku lupakan seketika.

Berlari dan terus berlari meloloskan diri dari pandangan Wan yang sedang dirasuk.

Akhirnya sampai dirumah. Nafas aku tercungap - cungap. Peluh memeleleh sepertinya baru lepas mandi. Tangan aku masih menggeletar ketakutan. Aku terfikirkan nasib Wan yang aku tinggalkan.

"Cari la tong minyak wei! Dok termenung apa lagi! Aku kiqa nak balik tidoq ja ni!", Wan marahkan aku.

"Ah! Ok - ok, aku dok caqi la ni. Hang pon caqi la sama". Aku balas kata - kata Wan.

Oh Shit! itu hanyalah khayalan aku. Sepanjang perjalanan tidak ada satu pun hantu yang muncul. Bila aku melihat kubur ja mesti akan fikir yang bukan - bukan.

WTF! Memang aku ni banyak tonton filem seram la.

Sabtu, Jun 02, 2012

jawapannya ada pada aku sendiri

darah gemuruh,
badan menggigil,
laungan yang lantang,
bulu roma meremang,
semangat terus memberontak,
darah muda mengalir seluruh tubuh,
aku pasti dan aku yakin,
inilah masanya.
aaammiiinnn....

11 Rejab 1433 H.

Selasa, Mei 29, 2012

gangguan - gangguan kecil

Aku mengantuk!

boleh tak kau pergi jauh - jauh dari sini!
jangan sampai aku tampar kau!
jangan kau bingit disini!
cari la orang lain!
aku nak tidur!

Aku mengantuk!

Pergilah kau dari sini wahai si penghisap darah!

Khamis, Mei 24, 2012

ini alasan aku

Apa yang kita buat dalam hidup, mesti ada alasannya dan kekuatan untuk lakukan.

Dan apa yang aku buat sekarang ni kerana ayah aku.

Buat apa wei?

Dari segi penampilan aku, persediaan aku untuk ke fasa yang lebih selesa. Untuk keluar dari kepompong lama dan bebas berterbangan.

Perasaan hiba juga salah satu dorongan untuk aku terus terbang.

Cukuplah selama ini kau menjaga aku dengan penuh kasih sayang. Suka duka aku lalui bersamanya. Mentalnya terlalu kuat mengharungi hari - hari yang penuh liku.

Sumpah wei! mental aku tidak sekuat mentalnya.

Kini, aku pula mahu berbakti padanya. Cukup - cukuplah dengan kerja yang layak untuk dilakukan orang muda saja. Dengan usia kau sekarang ni, bukan disini tempat kau. Tapi dirumah, berehat seperti orang sudah berpencen.

Tetapi aku tidak mungkin boleh bebas berterbangan jika tidak memohon pertolongan dari Tuhan yang Maha Besar.


Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selasa, Mei 15, 2012

penghujung yang baik

hari - hari dijamah dengan isu - isu semasa,
kau burukkan aku,
aku burukkan kau,
rakyat bagaikan patung,
yang berkuasa jadi tuhan,
agama dipijak - pijakkan,
manusia saling berperang,
yahudi kaum yang keji,
dunia bagaikan selamanya,
di sana berjuang,
di sini berpesta,
hukum tuhan dipertikaikan,
anak kecil tidak berdosa di bunuh dengan kejam,
seks bebas,
kaum sejenis dihalalkan,
masjid dan surau kian lengang,

di penghujungnya,
islam akan menang,
dunia akan kiamat,

kau baca,
kau faham,
kau gelak,
kau celaka!

Jumaat, Mei 11, 2012

pelupa yang tegar

Tadi aku dileteri ayah. Sebabnya aku tertinggal barang. Ayah aku cukup pantang buat kerja berkali - kali. Bukan sekali dua aku buat macam ni, banyak kali.

Entahlah, sejak dua menjak ni aku perasan sesuatu. Dari awal tahun lagi. Aku selalu lupa. Lupa tentang hal yang remeh temeh, apatah lagi hal - hal yang penting. Apa pun aku tak ingat. Selalu lupa.

Perkataan "sori" sudah banyak kali aku lontarkan pada ayah aku.

Sampaikan aku mencari cara mengatasinya dengan catitkan apa yang aku nak buat di telapak tangan aku menggunakan pen. Supaya aku lebih alert.

Kadang - kadang aku masih juga terlupa walaupun sudah aku catitkan. Itu yang benar - benar menjadi masalah.

Imbas kembali.

Dulu pernah ayah aku menegur, aku yang kerap makan kari kepala ikan. Katanya kepala ikan boleh membuatkan ingatan kita menjadi lemah. Menjadi pelupa.

Aku tidak hiraukan kata - katanya.

Kini, aku fikirkan semula kata - katanya dulu. Mungkin inilah efeknya. Walaupun aku sudah berhenti makan kari kepala ikan, tetapi kesannya masih ada.

Tapi mungkin kesan ini terjadi disebabkan oleh faktor diri sendiri jugak.

Mungkin.




p/s: Ayah aku yang ajar aku makan kari kepala ikan.

Selasa, Mei 01, 2012

berlakon bukan kerana wang ringgit

Disini terdapat sebuah pentas dunia, dimana kita boleh berlakon dengan memilih salah satu karakter yang ingin dilakarkan, yang kita hasilkan. Masing - masing dengan cara sendiri.

Wayang kini sudah bermula. Aku menonton, aku hayati setiap watak yang dibawa. Mimik muka yang menjadi, seolah - olah tiada cacat celanya dalam lakonan mereka. Aku kagum. Kini tiba giliran aku pula untuk berlakon.

Aku gusar.

Seboleh - bolehnya tidak mahu aku berlakon, tapi keadaan sekeliling mendesak dan aku tiada pilihan lain. aku cuba.

Watak aku ringan - ringan saja. Babak aku pun tak banyak bercakap, hanya sekadar bermain emosi sahaja.

Pentas ini tiada para juri, tiada para penonton. Yang ada hanyalah mereka yang memegang watak masing - masing. Mereka tidak dibayar untuk berlakon, dan bukan kerja mereka untuk berlakon seperti aku juga.

Mereka berlakon untuk seseorang. demi silaturrahim katanya.

Aku tertanya - tanya, sampai bila kita harus berlakon memegang watak - watak dusta?

Khamis, April 12, 2012

nanti - nanti la dulu

Tadi lewat malam, hujan.
Marah hujan yang semakin lebat,
aku disitu,
sejuk menggigil tanpa pakaian sejuk.

Tiba - tiba aku terfikirkan sesuatu,
ralit di pemikiran,
perkara yang tidak mahu aku mulakan lagi,
yang boleh bikin kita merana, selalunya.

Guruh mengaum dengan lantang,
aku terkamjat, terhenti seketika.

Berbalik pasal tadi.

Sudah la,
aku tengah sejuk gila ni,
mata sudah memberontak.
aku mahu pulang.

Oh ya,
tadi berlaku gempa bumi,
tapi aku tak rasa.

Sabtu, April 07, 2012

nikmat dunia yang hebat

Hari ini aku bangun awal, sebab nak buat itu, nak buat ini, macam - macam lagi aku nak kena buat. Buat - buat saja.

Dalam pukol 10 pagi, tiba - tiba perut meragam. Aku berlari terus ke tandas dengan kalutnya buka seluar.

Ahh! Lega...!

Benda - benda macam ni bila dicerita memang kelihatannya kotor. Memang pun. ketika kita sedang dalam proses "memerut", betapa nikmatnya bila semuanya berjalan lancar, nikmat tu lebih hebat dari bercinta.

Percaya la wei!

Selasa, Mac 27, 2012

aku mahu jadi peniru yang bagus

"Hang ingat hang setai kot! Dok tiru pakai sama dengan aku!"

Pernah dengar ungkapan macam ni?

Aku pernah dilabel meniru gaya orang. Ya, memang, sebab aku suka dengan gaya tu kemudian aku tiru. Memang keinginan aku untuk menjadi seperti yang dilihat.

Kita dari kecil hinggalah remaja sebenarnya hidup dan belajar dalam keadaan meniru. Masa kita masih bayi, ibubapa kita selalu mengajar kita dengan berkata "mama". Akhirnya kita boleh sebut perkataan itu dengan meniru percakapan mereka. Dari tidak boleh berjalan sehinggalah boleh berjalan.

Semakin membesar kita semakin luas kita meniru. Dari segi pakaian, kehidupan, perangai seseorang, atau apa - apa saja yang kita suka. kita mengkaji dan belajar. Meniru juga boleh dikatakan sebagai pengaruh dalam kehidupan.

Jadi, kita semua sebenarnya sama. Setiap orang ada pengaruh yang tersendiri untuk ditiru.

Tidak perlulah untuk kita melabelkan seseorang itu meniru gaya kita, kerana hakikatnya kita juga meniru orang lain.

Dibuat ketika tingkatann 4.

Isnin, Mac 26, 2012

doa qunut dan aku

Akhirnya aku boleh membaca doa qunut. Setelah lama aku ingin menghafal, hari ini dapat jugak aku menghabiskan hafalan.

Sesudah selesai, aku menangis. Terkenangkan berapa lama aku meninggalkan tuhan yang tidak pernah lupakan aku.

"kita mungkin boleh lupakan tuhan, tapi tuhan tak pernah lupakan kita"

Allah Maha Besar!

Isnin, Mac 19, 2012

mengata aku untuk nasihat

Aku tahu aku bukan baik, dan aku tahu yang aku ni jahat mulutnya. Mengata kawan - kawan dan bukan kawan - kawan. Tapi kebanyakannya darinya adalah nasihat.

Mengata pun nasihat?

Ya la. Cara aku mungkin ramai yang tak boleh terima. Tapi aku tetap akan mengata, dengan cara aku. Yang faham akan faham lah.

"Eleh, hang mengata kat orang macam hang tu bagoih sangat". Ok - ok, ada sesetengahnya aku mengata tapi aku tak bagus, tapi kalau aku mengata dan sudah tentunya aku bagus aku akan terus lawan. Boleh? he he he ...

Mintak maaf untuk yang terasa dengan kata - kata aku, mintak maaf sangat - sangat.

Rabu, Februari 22, 2012

rahsia itu dirahsiakan

Terdapat sebuah kampung di penghujung jalan, Kampung itu diberi nama Kampung Tolok.

Tinggal seorang penduduk di situ yang bernama Abu. Rakan karibnya pula bernama Ali. Mereka membesar bersama - sama. Sehinggakan penduduk kampung disitu memanggil mereka dengan gelaran adik dan abang.

Abu ada satu rahsia besar, dia sepertinya mahu dirahsiakan. Tetapi dia juga perlukan seseorang untuk mendengarnya, supaya hati dia lebih tenang. Abu rasakan Ali adalah orang yang paling sesuai untuk berkongsi rahsianya.

Abu pun ceritakan rahsianya pada Ali untuk ringankan beban yang telah lama bersarang. Ali telah berjanji untuk simpan dengan kemas rahsia Abu.

Pada suatu hari, kawan Ali yang bernama Hisyam mengajak Ali pergi melepak di warung hujung kampung mereka. Masing - masing leka dengan perbualan kosong, tanpa sedar Ali menceritakan rahsia Abu kepada kawannya.

Ali mahukan Hisyam supaya berjanji tidak menceritakan rahsia Abu kepada orang lain. Itu hanya rahsia mereka berdua. Hisyam pun mengikat janji dengan Ali.

Hisyam pulang memandangkan hari semakin senja. Dalam perjalan pulang, tiba - tiba kawan sekerja telefon Hisyam untuk menanyakan tentang hal - hal pejabat. Selesai bincang Hisyam juga menceritakan rahsia yang dia telah berjanji dengan Ali tentang Abu.

Apa - apa pun Hisyam mahukan rakan sekerja yang bernama Ahmad supaya simpan rahsia dengan baik - baik dan tidak diceritakan kepada orang lain.

Dalam keluarga Ahmad, dia anak tunggal. Ahmad paling rapat dengan Ayahnya yang juga seorang pesara. Mereka selalu berbual tentang hal - hal keluarga. Secara tidak langsung, Ahmad pula menceritakan rahsia Abu dengan Ayahnya. Ahmad rasakan yang Ayahnya orang yang berpegang pada janji. Dia meminta ayahnya rahsiakan dari pegetahuan orang lain. Supaya rahsia itu tidak diketahui orang lain.

Dan sehingga kini rahsia itu dirahsiakan dari seorang ke seorang.


Lokasi : Bukit Merah.

Sabtu, Februari 11, 2012

kepala ni dah ringan sikit

Ada la sampai satu tahap ni, otak aku penuh dengan kata - kata, selerak, ceramuk. Tak tersusun la bak katanya. Ada kata - kata yang yang aku takut untuk dilontarkan atas sebab jaga hati kawan.

Tapi kan, lepas dah luahkan kata - kata kat seseorang yang nak kita katakan. Sebenarnya mudah bila dia faham apa yang kita katakan. Dan juga boleh jadi sukar jika dia tidak faham. Itulah sebabnya aku takut untuk luahkan.

Otak ni pun dah refresh sikit, macam kita tekan kanan tetikus komputer tu la, yang ada refresh tu. Nak bagi komputer laju balik.

p/s : Cuak wei malam ni nak rekod lagu.

lomo - lomo

Ahad, Januari 15, 2012

ingin memiliki sehelai sejadah pada tahun ini

Tadi selepas solat Zohor, aku duduk di atas kain sejadah. Bukan milik aku, kepunyaan emak aku. Ralit mata merenung ke bucu sulaman kubah yang dijahit kemas.

Apa yang aku harapkan, untuk harijadi aku pada tahun ini, 03 Mac. Ingin aku memiliki hadiah sehelai kain sejadah untuk aku terus melutut, dan menyembah pada Yang Maha Berkuasa.

Harap - harap. Amin.

Isnin, Januari 09, 2012

aku betul - betul di tengah

Situasi aku sekarang betul - betul di tengah - tengah. Tepat di tengah - tengah manusia yang saling melemparkan batu benci antara satu sama lain.

Aku dihimpit di antara manusia - manusia itu.

Mereka menyorok dibalik tubuh aku. Manusia sebelah kiri berbisik di telinga aku, ceritakan tentang hal - hal yang dibencinya pasal manusia di sebelah kanan aku. Manakala manusia di sebelah kanan aku juga menceritakan hal - hal yang tidak disukainya pasal manusia di sebelah kiri aku. Aku sekadar iya apa yang dikata.

Mereka berkongsi dengan aku, mungkin bagi mereka aku ni pendengar yang baik.

Ya! memang aku pendengar yang baik. Tetapi bukan ini yang aku nak. Bukan ini yang aku mahu dengar.

Apabila bersua muka, masing - masing lagak seperti biasa, lagaknya baik - baik saja. Kenapa perlu berpura - pura kawan?

Kita perlu belajar menerima seseorang yang tidak cukup sifatnya, budi bahasanya. Kerana kita pun tidak perfect.

Berkawan biarlah berbillion - billion, musuh jangan dibuat.


p/s : Selamat Tahun Baru 2012