Khamis, Disember 27, 2012

jiwa mereka jiwa aku hanya satu

Kaum Ibu ralit gelak tawa saling bertukar cerita kejayaan anak emas. Berjawatan tinggi, pegawai besar. Semuanya kerja yang layak disembah oleh ribuan manusia. Ibu - ibu tersebut gembira apa yang dikecapi oleh si anak.

Tapi, Ibuku jarang sekali berkumpul dan berborak akan perihal anak - anak. Seringkali dia mengelak dari mulut masyarakat yang dahagakan sesuatu hal. Dia hanya sekadar menumpang gembira akan kejayaan anak para teman - temannya. Ada tikanya dia perlu bersuara untuk memuaskan pertanyaan mereka. Tatkala itu, wajahnya yang senantiasa terukir senyuman manis, aku tahu di dasar hatinya ibarat kulit yang tercucuk selumbar.

Tangisan jiwa seorang Ibu.

Sering aku memohon ampun di dalam kotak hati yang tidak berpenghuni. Mengadu pada tuhan, ampunkan anak yang durhaka ini. Kerana menghuru - harakan hati seorang ibu hingga gundah gulana.

Aku tidak mampu gembirakan hati ibubapa dengan berpasang - pasang kot hitam berjenama dunia, kasut kilat dari butik barat, kereta yang bulan - bulan dibayar sebanyak wang gaji seorang peguam. Juga dengan sekeping kertas kuning yang digulung bermohor dari orangnya separuh tuhan.

Aku buta dunia!

Ibu, Ayah! aku punya cita yang lebih dari itu. Ingin aku menghasilkan sebuah kapal, agar dapat mencabul langit ketujuh. Berkawan dengan Sang Pencipta ribuan juta jiwa. Disana.

Ibu, ayah! aku tidak punyai material yang banyak, ambillah jiwa aku. Untuk didagangkan pada hatimu yang gundah. Mungkin jiwa aku lebih mahal dari seutas rantai emas, atau tidak lebih dari selipar cabok.



Pusat Kota Alor Setar.
Selasa, 3:00 petang.
25 disember 2012.
12 Safar 1434 H.




Rabu, Disember 12, 2012

sebenarnya mereka adalah hamba

mereka semua penzina,
sanggop senggama di depan tuhan,
sungguh maha berani penzina celaka itu,
tiada rasa hamba dalam jiwa,

disoal, dimarahi,
benar - benar hati mati,

tunggulah,
tika sang pencipta murka,
maharaja kembali hamba,

si penyoal,
sama si penzina,
sama - sama rebah,
dimakan bumi,
celakalah semua,

balasan untok segerombolan,
kerana penzina,
pelaku dosa.

Ahad, Disember 02, 2012

kembali untuk bermimpi

Aduh! sakitnya leher. Lenguh satu badan. Lama benar aku tidur. Rasanya sudah berhari - hari. Eh! berbulan - bulan rasanya. Pinggang ni rasa kebas sangat - sangat.

Banyak yang aku telah aku tinggalkan. Keluarga, sahabat, cinta, dunia. Segalanya dalam bentuk fizikal. Sesekali lahir juga rasa rindu aku pada mereka. Luahan perasaan.

Sudah jauh pengembaraan aku ketika sedang tidur. Pengembaraan ini bermula ketika aku tertanya - tanya tentang teka teki di dalam fikiran. Aku ghairah untuk mencari sang jawapan dari setiap teka teki yang telah lama aku simpan. Dari satu tempat ke satu tempat, di setiap ruang mimpi aku cabul. Dan aku temui jua sang jawapan. Tapi belum cukup kuat.

Hingga tiba - tiba aku terjaga dari ruang mimpi, bertemu realiti. Ruang itu terus hilang diganti realiti.

Aku mahu kembali di dalam mimpi itu lagi, terus mencari sang jawapan. Aku perlu korek dengan lebih dalam. Mencabul segala apa yang ada. Ruang itu terlalu dalam untuk dihabisi oleh aku seorang.

Tekak benar - benar haus ni. Minum sebentar.

Sambung tidur.