Jumaat, Disember 20, 2013

hati masih lemah

kemelut malam itu dasyat,
tanpa disaksikan siapa,

mata melolong letih,
hati mahu bertasbih,
tubuh terpinga - pinga,

dengan siapa mahu diikut,
hati atau mata?

tubuh pilih mata,
dua - dua buta,

hingga esok.

Sabtu, Disember 14, 2013

aku pernah kenal seseorang

aku pernah kenal seseorang
hatinya kental
tidak pernah menyesal
walau cuba ditibai
tetap berdiri senyum

aku pernah kenal seseorang
petahnya belapik - lapik
takut ada yang sakit

aku pernah kenal seseorang
peranannya tetap utuh
luka duka cuba merempuh
dibuatnya acuh tak acuh

aku pernah kenal seseorang
luhurnya secantik sutera
petahnya bikin ralit
setiap segala dia ada
di dalam dada

baru aku perasan.

"deklamasi untuk ayah.
dari anak yang sering dusta."





Jumaat, Disember 06, 2013

berhabuk

Nampaknya, sudah lama aku tak kemaskini blog.

Fuh! berhabuk.
Kena lap dulu, baru boleh baca.

Sabtu, November 16, 2013

sudah sudahlah

Sesetengah yang lain.

memori lapuk boleh menggugat masa hadapan,
yang menghalang langkah kedepan,
mematikan jalan yang terhidang,
sesetengah,

bagi aku,
kadang itu semua diremehkan aku,
untuk aku kuat,
dijadikan pasak,
menongkat ketidakstabilan
sewaktu berjalan.


buat apa aku nak fikir?







Isnin, November 04, 2013

semakin hampir

abad ke 21

perjanjian asal sudah dicemari,
datanglah yang seterusnya,
hiburkan pendusta buta,
dalam bungkam.



04/11/13
separuh sedar

Jumaat, Oktober 18, 2013

mohon dan lalai

hari ini kau menangis teresak - esak
tidak mahu lagi memanggung kepala yang bersujud
memperlihatkan kesungguhan seorang hamba
memohon sejuta ampun kemaafan

dari raja yang bersemayam
di arsy

sebentar lagi kau kembali lalai.

Jumaat, Oktober 04, 2013

buat seorang sahabat

dia memang degil
tidak hadam nasihat aku

dulu kau taksub dengan cinta
hingga terlupa segala duka
mahu saja dibina istana
agar kalian boleh berasmara

satu masa semua musnah,
cita - cita terpadam
air mata peneman
hidup pula tidak keruan

diungkit - ungkit memori lama
dengan harapan utuh semula
sayangnya itu cuma igauan
sekali lagi air mata menjadi peneman

rasa duka, rasa kecewa
rasa sunyi, rasa terbuang
rasa celaka, rasa tuli

dia heret ke puncak
ramai yang sangsi
dia tidak peduli

sewaktu berkelana
diharap tiada apa - apa
memori masih menyala
katanya dengan nada yang hampa
semua itu perlukan masa
sabar la kawan

hari ini
dengan wajah yang gembira
dia bilang mahu bersama semula
dengan pengukir duka purba

aku terkesima

bersama bukan cara lama
bersama kali ini dengan restu
katanya dia dengan keyakinan

Alhamdulillah

"berkatilah mereka yang ikhlas Ya Allah"

Isnin, September 09, 2013

pramatang

Sedar tidak sedar, aku sudah melalui satu proses 'kematangan' secara berperingkat. Matang yang bukan dari segi ketampanan dan cara berpakaian, tetapi dari segi cara hidup yang lebih baik dari sebelumnya. Dan bukan bermakna juga aku sudah mencapai tahap kesempurnaan yang penuh. Masih lagi yang sama, cuma ada perbezaannya walaupun sedikit.

"Agama memandu kita, agama mendisplinkan kita, agama mengajak kepada kebaikan."

Semua orang tahu itu.

Banyak perkara - perkara yang manis sudah menjadi tawar. Dengan itu, mudah untuk aku tinggalkan tanpa berbekas. Sekarang aku lebih menghargai masa yang ada. Setelah apa yang dahulu aku lalaikan, masa dibuang begitu saja. Rugi, memang rugi. Pandangan harus kedepan. Hendaklah sentiasa dihaluan kanan.

Buat yang mendoa, secara tersembunyi atau terang - terangan. Buat yang memberi kata - kata tajam, buat yang telah menendang hati hitam ini. Terima kasih semua, apa yang tuhan ciptakan tidak sia - sia.

Akhir kata, jangan pernah sesekali terdetik rasa ragu - ragu pada tuhan yang tidak pernah lena. Buangkan segala prasangka busuk.

Jumaat, Ogos 16, 2013

khalifah

Ucapan Dr Morsi :

Sesungguhnya,

Aku melalui jalan-jalan yang sukar sangat,
Bukanlah aku mahukan jawatan sebesar ini,
Bukanlah aku dambakan kedudukan teratas sebuah negera,
Bukanlah impianku untuk menjadi orang pertama harapan rakyat,
Keberadaaanku adalah kerana Allah mahukan agama ini dijaga,
Kerana agama ini sahajalah penyelamat segala,
Kerana kebenaran ini sahaja yang membuka mata,
Menyedarkan hati-hati yang kebutaaan agama,
Islam ini bukanlah semata-mata luaran pakaian sahaja,
Islam ini bukanlah pada percakapan dan manis tutur kata sahaja,
Islam ini perlu bergerak seiring dengan iman,
Iman yang membuktikan segala kepatuhan agama,
Kerana dalam setiap apa pun,
Sama ada hati, percakapan, ataupun perbuatan, itulah islam bagiku,
Kaffah menyeluruh,
Kita bukan islam biasa-biasa.

Maka itu yang aku mahukan ianya berlaku dalam negara kita,
Segala macam korupsi yang ada,
Apakah dianjurkan islam?
Dengan segala hak rakyat menjadi hak milik orang-orang besar,
Adakah itu yang islam harapkan? Orang-orang miskin di tepi jalan, semakin ramai yang menganggur, jenayah dan maksiat, berpeleseran seperti syaitan,
Apakah itu yang islam anjurkan?
Itulah yang mahu aku baiki,
Untuk semua rakyat di negara ini,
Kita ada agama yang memimpin hidup kita,
Kita ada Tuhan yang akan menilai tingkah laku kita,
Ingat hari kiamat akan muncul, dan semuanya akan dipertontonkan semula.

Aku memohon ampun atas kelewatanku,
Untuk mengurus negeri ini,
Aku mengetahui batasan aku,
Aku mengakui ketidakmampuanku pada sesuatu perkara,
Namun,
ku mengharapkan,
kamu membantu aku,
Bersama-sama kita bangunkan negeri ini,
Jika tidak ada sokongan kamu,
Aku tidak akan berada di sini,
Ku hanya memohonkan sabarmu,
Ku hanya memohonkan komitmenmu,
Ku hanya memohonkan bantuanmu,
Bantulah aku untuk kita bina negara ini bersama,
Kerana ianya bukan hak mutlak diriku,
Dia adalah milik kita bersama,
Tetapi keadaannya tidak demikian,
Kau malah menuduh aku bermacam-macam,
Sikapmu yang tidak sabar,
Ianya hanya merugikan kita.

Maka, aku hanya mengharapkan Allah yang satu,
Untuk membantu perjuanganku ini,
Kerana Dia bersikap tidak pernah meninggalkan hambaNya,
Maka aku hanya berpegang dengan taliNya,
Allahumma, bantulah aku Ya Allah, kerana aku membawa agamaMu,
Allahumma, sentiasalah bersama-samaku Allah,
untuk memimpin negara ini,
Allahumma, kerana cukup kekuatanMu ya Allah,
maka aku merasa Kau mencukupi untukku. Bismillahi tawakkaltu 'ala Allah,
la haula wa la quwwata illa billah!

Rabu, Ogos 14, 2013

khalwat

malam
izinkan aku berkhalwat dengan kau
terimalah daku seperti kau terima bintang dan bulan
dalam ruangmu

dakapilah aku setiap masa
agar dihilangkan sisa prasangka
aku dhaif

beritahulah tuanmu
tentang kehadiranku ini
moga  dapat aku memajak
bakul - bakul dosa

datang aku bukan tangan kosong
dibawa segenggam manikam
entah palsu entah asli

lihatlah dulu
nilailah dulu
jangan terburu - buru

terima kasih malam
kerna sudi berkhalwat

Rabu, Ogos 07, 2013

nawaitu terakhir

Saat semua mengilai, aku dalam dilema. Gembirakah kepergian ini? atau hiba yang terukir? Aku bukanlah seorang yang padu untuk katakan hiba, dan aku juga tidak rela berkata gembira. Yang hadir pasti akan pulang, setiap permulaan pasti ada akhirnya.

Tapi dalam hidup kita, adalah 'permulaan belum berakhir'. Tuhan akan selalu ada setiap saat yang kita lalai. Walau kita sering berbuat celaka, Dia akan hiraukan kita. Rasa - rasa dalam diri kita ini semuanya adalah milik-Nya, yang dipinjamkan untuk kita tahu kewujudan Yang Maha Besar, dan berjalan kepada-Nya.

Alhamdulillah, aku masih ada mata, masih ada makan, masih tempat tinggal, masih diberi idea untuk menulis, masih ada kawan - kawan yang baik, masih ada semuanya. Yang paling agung adalah pemberian gelaran umat Muhammad S.A.W.

Untuk akhirnya, Selamat tinggal bulan Ramadhan yang barokah, dan Selamat Hari Raya buat semua dibawah naungan Allah S.W.T. Maaf Zahir dan Batin.

Khamis, Ogos 01, 2013

tidak mustahil

Masing - masing punya idealoji sendiri. Dan ini aku punya.

Dalam soal angan. Aku lebih memilih untuk berharap sesuatu yang tidak mustahil. Untuk aku sentuh, rasa, dan miliki. Bukan juga bermaksud untuk aku terus bergelumang di dalam kotak sempit, ia kerana aku tidak mahu terus terkapit dalam kemurungan yang tidak berpenghujung. Itu semua hanya bikin aku lambat untuk melangkah. Dengan berharap sesuatu yang tidak mustahil itu, aku akan besarkan setiap penjurunya. Dari satu sudut ke satu sudut. Supaya aku selesa selama berharap.

"menunggu bulan jatuh, lebih parah dari menunggu buah kelapa jatuh"

Jumaat, Julai 26, 2013

tasauf

rasa - rasa yang ada;
wujud

tiadanya perupa, juga jisim

rasa yang semua miliki,
bezanya sikit atau banyak
sama ada perasan atau tidak

rasa itu terlalu rumit
yang susah dicerita
pada yang tak kisah

rasa - rasa yang dalam
tidak tercapai dek akal
yang tidak bertulang

rasa itu hidup dalam ruang
sebab aku rasa
rasa itu berbisik ampuh
sebab aku rasa
rasa itu melihat tajam
sebab aku rasa
rasa itu bicara puisi
sebab aku rasa

rasa - rasa yang ada
sangat dalam
di celah - celah kalbu

membungkam.


suasana asing,
Tanjung Bendahara,
17 Julai, 8 Ramadhan 1434M / 2013H,
Alor Setar.

Isnin, Julai 15, 2013

aku dan seram

aku bertimpuh,
memicit ketul tasbih
berkumat tuhan

jam,
suis,
katil,
sikat,
resit,
gitar,
radio,
kunci,
cadar,
kipas,
kasut,
bantal,
almari,
poster,
lampu,
kerusi,
syiling,
dinding,
sejadah,
gunting,
tali satu,
kalendar,
beg galas,
tetikus rosak,
kotak kosong,
komputer riba,
telefon bimbit,

semuanya memandang aku,
seram memang seram,
sebab aku seorang,
jadi aku diam.

Ahad, Julai 07, 2013

rangga

Pukul dua belas setengah. Hujan sangat lebat. Rangga dengan keadaan terburu - buru memberhentikan mospedanya di bahu jalan, dan terus berteduh di stesen bas berbumbung. Hujan semakin lebat, ditampar pula dengan angin yang kuat. Membasahkan siapa saja yang ada dilaluannya. Hebatnya kuasa tuhan.

Tubuh badan rangga dibalut dengan kemeja berlengan panjang, dalamnya pula pagoda kegemarannya. Dan berseluar slek hitam. Kasutnya berkulit tidak bertali. Baginya, ia mudah dipakai dan mudah ditanggal. Yang duduk disebelah kanannya adalah pekerja yang membersihkan jalan. Tiga orang semuanya. Rasanya bukan warganegara. Mungkin. Kirinya pula seorang makcik yang sudah berumur. Berbaju kurung, bercorak bunga tradisional tempatan. Mereka semua termasuk rangga punya tujuan yang sama. Berlindung dari hujan yang lebat.

Rangga hanya melemparkan senyuman pada orang sekeliling. Tiada sebarang perbualan berlaku. Kerana kebisingan titisan air hujan yang bertalu - talu menimpa bumbung. Kalau mahu dicakap juga, perlu menjerit - jerit supaya didengar (macam bercakap dengan orang pekak). Jadi semua memilih untuk diam.

Disinting bajunya hingga paras siku, dan Rangga duduk termenung melihat gelagat titisan air hujan yang jatuh ke bumi. Dikiranya titisan air hujan itu satu persatu, tetapi tidak terkejar bilangannya. Beribu - ribu titis yang jatuh dalam satu masa. Rangga kembali merenung.

Dan fikirannya melayang dari situ. Ditinggalkan batang tubuhnya tanpa pemandu. Dalam fikiran yang melayang itu, telah menimbulkan tanda tanya kepada Rangga. Rangga pun melayan fikiran. Kadang - kadangnya, dia juga malas untuk melayan. Tapi tanda tanya itu semuanya tentang dirinya. Atas alasan itulah yang membuatkan Rangga terus melayan fikiran.

"Apakah esok aku masih seperti hari ini?". Rangga tiada jawapan untuk itu. Dia bingung sama sekali. Rangga sendiri pun tidak percayakan dirinya sendiri. Mana mungkin dia mampu menjawab. Pertanyaan itu terusan berkeliaran di fikirannya.

Dia mulai sejuk. Rangga sudah kembali pada tubuhnya. Baru dia sedar yang dia sudah basah. Tempias titisan hujan yang sikit - sikit itu telah berjaya membasahkan separuh badan Rangga. Cepat - cepat dia lindungi beg sandangnya yang berisi maklumat dirinya agar tidak menerima nasib sepertinya.

Saat hujan renyai - renyai. Makcik disebelahnya tadi terus bangun dan pergi. Rangga yang tidak berfikir panjang, buat perkara yang sama. Dia menyarungkan helmet dan terus hidupkan mospeda. Dia nekad. Rangga tidak kisah tentang baju, seluar, sependa dan kasutnya yang basah. Di rumahnya, sudah disediakan sepasang untuk kecemasan.




 
selamat hari ayahanda dan ibunda

Khamis, Julai 04, 2013

yang perlu ada

Tunggu apa lagi, cepat bersiap. Pedang dah ada, topi besi dah ada, kudanya juga sudah ada. Semuanya sudah ada. Eh! rasa macam tak cukuplah. Benda apa yang tak cukup lagi.

Woi! perpaduan, cepat la.

Ahad, Jun 30, 2013

perokok yang dihormati

Kepada perokok,

bukan semua perokok hatinya jahat, bukan semua. Mereka itu ada yang lebih baik dari seseorang yang memakai kopiah putih. Salah seorang mereka juga mungkin pernah menyelamatkan seorang gadis dari dirogol penyamun berkumpulan.

Mungkin.

Tapi, masih ada tapi. Dari segi disiplinnya, sangat kritikal. Dicampakkan putung rokok merata - rata. Tidak kira tempat. Dan ianya suatu perbuatan yang sangat parah. Ingin sekali aku melihat perokok merenyuk - renyuk puntung hingga kecil jisimnya dan di masukkan dalam poket seluar (jika tiada tempat pembuangan).

Tiada sebegitu?

Cukuplah dibuang putung ke dalam tong sampah.

Isnin, Jun 24, 2013

sajak taubat

ketika mana dahi jujur mencium bumi,
waktu itu juga aku lesap dari materi,
terpacak di depan tuhan,
mendendangkan sajak taubat,

darah terusan mengalir,
berpusu ke otak,
entah berapa lama disana,

seusai dendang sajak taubat,
bingkas didongak kepala,
menenangkan tubuh yang penat,

salam ke kanan,
salam ke kiri,

moga tuhan terhibur,
dengan sajak taubat.

  
"sajak ini bukan untuk dijual"

Khamis
20 Jun 2013
11 Sya'aban 1434 H.

Sabtu, Jun 15, 2013

sebuah persinggahan

Okay, sampai.

Pelan - pelan aku dayung, dengan hemahnya aku redah air yang kadang - kadang ganas, kadang - kadang baik, sampai juga aku disini. Nanti boleh la aku beramah mesra dengan orang - orang kampung disini. Cakap - cakap orang, kampung ni okay.

Khamis, Mei 30, 2013

doa kali kedua

Ketika tadika, dan sekolah rendah,

guru - guru agama selalu berpesan pada aku dan murid - murid yang lain. Selalulah berdoa pada tuhan, minta apa saja pada tuhan. Tuhan akan dengar doa kita, dan tuhan akan makbulkan. InsyaAllah.

Di fikiran aku ketika itu, hanya terbayang material yang menjadi adat kebiasaan budak - budak kota pada masa itu untuk memilikinya.

Aku bisik kat tuhan, aku nak;
digimon
gameboy
telefon bimbit
game televisyen

Semuanya aku selitkan dalam doa. Banyak lagi yang aku minta, tapi sudah lupa. Untuk abad ke-dua-puluh-satu ni. Aku yang telah diberikan nikmat akal yang jelas.

Aku bisik lagi kat tuhan, aku nak;
keampunan dari - Nya,
letakkan aku dalam rahmat - Nya,
sentiasa jadikan aku hamba yang bersyukur,

aamiinn..



Rabu, Mei 22, 2013

sekali lagi

"Sat! Wan, telefon bimbit aku mana?"

"Hang tertinggal la tu."

"Takkan kot, dompet dengan telefon bimbit, benda yang selalu aku bawak."

"Ala, takdak apa la."

"Sat, tadi masa naik moto aku ada pegang lagi."

Sel - sel otak saling menyambung dan menghidupkan mood, darah menyirap luap. Kalau ada tadi, bermakna aku tak tinggal di rumah la. Terjatuh kat mana - mana kot. Gelisah terus menyapa.

Terkial - kial tangan meraba mencari - cari.

"Tu hang pegang apa? bukan telefon bimbit ka?"

Allahhuakbar! Alhamdulillah. Syukur ya Allah! Kenapa dengan aku ni, rasanya semakin teruk kondisi ingatan aku.

Ahad, Mei 19, 2013

kait dan kaitan

bila ada masalah, mereka saling berbalah, tanpa ada yang mengalah, aku minta beralah, semuanya bersalah,

kesalahan atau pesalah yang bersalah?
atau pesalah bikin kesalahan hingga menyalah pada yang tidak bersalah?

mari pura - pura mengalah.



tepi sayap pari - pari
2013 / 1434 H. 

Isnin, Mei 13, 2013

satu - per - satu kecuali satu

keratkan tangan aku, supaya aku cacat
korekkan mata aku, agar aku buta
jahitkan mulut aku, biar aku membisu

carikkan segalanya tentang aku;

rambut,
muka,
telinga,
hidung,
kening,
paha,
betis,
ibu jari,

kecuali satu saja,

maruah aku!

Khamis, Mei 09, 2013

kehebatan manusia tanpa sesuatu

hanya dengan satu juta suara itu
kau sudah bongkak
kejayaan telah dihidu

hanya dengan satu juta sorak itu
kau sudah bermegah
semua sudah bersatu

hanya dengan satu juta semangat itu
kau sudah takbur
kemenangan sudah pasti

tapi kau terlupa sesuatu

Yang
Maha
Dasyat

dan dengan sebab itu

kau tewas.




"manusia merancang, tuhan tentukan"

Sabtu, Mei 04, 2013

lima mei

bulan berganti bulan,
hari berganti hari,
tiba juga lima mei ,

esok adalah hari raya,
buat semua pemijak bumi Malaysia.

selamat memangkah!

Sabtu, April 27, 2013

tiada lagi kusangsi

dengan setiap infiltrasi
dengan setiap diskusi
tiada lagi kusangsi

di esok hari.












di celah - celah ruang,
isnin, 3:04 petang,
11 jamadilakhir 1434.


Ahad, April 21, 2013

si ibu bersalin

Nah! kau makan la lebih sikit. Kau perlukan tenaga yang banyak untuk jaga anak kau. Tuhan dah kata,

"Anak itu adalah rezeki dari - Nya".

Rabu, April 17, 2013

lagi ramai, lagi rancak

Ramai orang berkerumun, macam ada orang jual ubat. Terus aku melangkah pergi ke situ untuk melihat. Nampaknya, seperti ada orang bergaduh. Mereka menangkap pencuri, aku tidak pasti dia curi apa, hanya dengar bisikan orang sekeliling. Ada juga yang berkata pergaduhan ini bermotifkan dendam.

Sepuluh mulut, sepuluh cerita lain.

Si pencuri tu dikepung, dikeliling orang yang mahu memukulnya. Si pencuri dipegang, dikawal rapi oleh lelaki berbadan besar. Takut dia lari.

*dush

Satu kaki menghinggap di perut si pencuri tu, dan di hinggap berkali - kali. "Mungkin dia ni kot mangsa si pencuri tu." teka aku dalam hati.

Kemudian, datang seorang lagi lelaki, dari cara pakaiannya, dia ni pengawal di pasaraya berdekatan. Tanpa memberi salam, dia sedekahkan sepak terajang dia kat si pencuri tu dengan bersarungkan but. Memang habuan si pencuri tu.

"Dia ni ada kena - mengena juga ka?" bisik aku lagi dalam hati. Tertanya - tanya. Apa salah si pencuri tu, dia curi apa. Tak boleh ka selesai cara baik?

Dalam situasi kelam kelibut disitu, ada juga yang tanpa segan silu turut menyumbangkan kaki - kaki mereka untuk dijamu pada si pencuri tu. Bukan seorang, ramai. Macam ada pesta.

Orang semakin ramai, yang lalu lalang berhenti untuk melihat. Semua pemukul si pencuri tu aku kenal, sebab di situ - lah tempat mereka berkumpul, melepak, berborak.

Lunyai si pencuri tu, kemudian mereka bawa dia pergi dari situ. Entah, apa nasibnya selepas ini. Aku tidak tahu. Wallahu a'lam.

Bagi aku, cukuplah seorang yang memukul dia ( walaupun aku tak setuju dia dipukul ). Masih banyak cara untuk diselesaikan, bukan guna perasaan, gunalah panduan agama.

Kenapa mesti memukul beramai - ramai? Adakah sebab ramainya penonton? atau sebab ada kumpulan?

Nak tunjuk hebat bagai.
Mahukan pujian.

Aku cakap atas pengalaman diri sendiri. Bila ramai, kekadang ada saja yang aku nak tunjuk hebat. Bila tidak jadi, malu aku dapat.

Pergaduhan tu orang melayu, dan aku tak khususkan untuk melayu saja. Ini untuk semua, yang apabila ramai kuat, bila sorang - sorang penakut.



Sabtu, April 13, 2013

hilangnya sebuah komunikasi

Duduk semeja, kami berlima. Di kedai makan PakMan.

Kawan - kawan tiada masa lagi untuk berborak, tentang isu kemanusiaan, tentang kucing sebelah rumah, tentang nasi goreng yang aku masak petang tadi. Kita berlima, tapi rasa macam aku seorang saja di meja ni.

Fokus mereka tertumpu dengan gajet - gajet yang canggih. Masing - masing bersembang tentang whazap, internet percuma, laman sosial, dan benda-alah-yang-aku-tak-tahu.

Aku pula pura - pura faham apa yang diperkatakan mereka, sambil menggenggam seketul "tablet" Nokia 1280 hitam.


p/s:  sekurang - kurangnya, kalau nak periksa minyak motor, telefon bimbit aku berguna jugak.

Rabu, April 10, 2013

aku tak gila

dok!

kenapa dikurung diri saya?
saya bukan orang jahat

dok!

saya cuma nakkan ubat
bukan tinggal disini

dok!

lantainya kotor
pintunya bertirai besi
kasihani - lah saya

dok!
dok!

lepaskan saya dok!

dok!

saya merayu dibukakan pintu
untok saya keluar

dok!

jangan senyap dok!
saya bukan orang gila!
dok yang gila sebenarnya!

bukak dok!
bukak!
bukak!

jika tidak
saya bunuh dok!

Rabu, Mac 27, 2013

marah diganti dengan kasih sayang

Bila sedang mereka susun batu - bata itu meninggi, kemudian kita runtuhkan. Selerak berteraburan. Sudah pastinya mereka  marah. Apabila giliran kita pula yang menyusun batu bata, mereka runtuhkan untuk membalas dendam. Coba kita gantikan kemarahan dalam diri dengan rasa kasih sayang untuk mereka.

 Agak - agak mampu tak?
 






Rabu, Mac 20, 2013

terhalang #2

Pertama sekali dengan tuhan, kemudian guru, dan orang rapat. Semua sudah aku aku rujuk. Hati masih lagi tunggang langgang.

Akhir sekali aku cakap dengan dia. Minta nasihat untuk diri aku. Dia tanya aku satu soalan yang aku tak boleh jawap. Aku senyap.

Dulu aku hebat sangat, katanya aku kenal diri aku sendiri. Walhal tidak pun, orang sekeliling sebenarnya lebih mengetahui tentang diri aku. Aku sedar, dan aku tak nafikan yang aku ni

lalang.

Berdasarkan sejarah hidup aku yang lepas, mereka kecewa. Bukan sekali, berkali - kali. Semuanya tidak pernah sudah.

"kalau betul hati hang cinta tuhan, dok mana pun tetap hang cintakan tuhan. Kalau hang betul - betul cinta la."

*bisu

Mintak maaf, mintak maaf untuk kali ke-seratus juta. Ini bukan simpati atau penulisan untuk raih kesedihan. Ini nukilan ikhlas untuk manusia seperti aku. Hanya yang rasa, akan mengerti.

Terima kasih kakak, atas nasihat yang benar - benar berisi.

Jumaat, Mac 15, 2013

terhalang #1

Assalamualaikum... Aku bukak pintu rumah dan masuk dengan kaki kanan. Mak sedang menonton televisyen. Aku hulur tangan untuk salam. Mak tenung tajam mata aku (aku rasa seperti ada sesuatu nak diberitahu), dia belum hulur tangan untuk membalas salam aku.

"Awat! Abang nak masuk pondok ka?" sambil Mak hulurkan tangannya bagi membalas salam yang aku hulur dari tadi

"Ya!" jawab aku. Ni mesti Ayah sudah ceritakan tentang hajat aku pada Mak. Bisik aku dalam hati.

"Takpayah la masuk! umur abang la ni dah berapa dah, masa kecik - kecik dulu takpa la kalau nak masuk pondok empat tahun tu lama. Siapa yang nak bagi duit kat abang. La ni abang cari kerja, sambil - sambil tu abang pi la mengaji malam - malam." terang Mak aku dengan jelas tanpa kias. Aku kenal perangai dia. Memang itu sifatnya, cakap apa yang dimahunya. Cakap lepas.

"Hmm.." aku membisu tanpa kata. Terus aku berjalan masuk ke kamar.

Tum..!
aku kunci.

Aku teriak dalam hati, tapi aku tahan supaya tidak terkeluar air mata. Rasanya seperti hati ini disentap keluar dengan cangkuk yang besar, sakit tidak terperi.

Rasa ini berulang kembali, seperti aku terima panggilan dari abang arwah kawan baikku masa di sekolah. Abangnya telefon untuk beritahu yang kawan aku sudah meninggal dunia.

Hati luluh lantak.

Kemudian, aku menadah tangan,
memohon pada yang tak mati,
kali ini tiada malu lagi untuk
aku menitiskan
air mata.

Rabu, Mac 06, 2013

harapan manusia pada manusia

Fasa persekolahan.

Ketika dalam tahun - tahun akhir. Di antara banyak - banyak pelajar, aku telah dipilih untuk menjadi orang harapan pada seorang guru. Harapan itu cuma pada mata-pelajaran yang guru itu ajar sahaja. Bukan keseluruhan. Dek kerana minat akan mata-pelajaran itu juga, aku terus berusaha untuk berjaya. Apa saja yang guru itu minta, akan aku lakukan.

Aku perasan rakan sekeliling mengatakan aku kaki bodek. Ya, sejujurnya begitulah.

Selepas tamatnya persekolahan, aku beroleh keputusan apa yang mereka harapkan. Walaupun mata-pelajaran yang lainnya tidak memberangsangkan, tetapi bersyukur tidak gagal. Aku telah diminta guru untuk terbang lebih tinggi agar pencapaian ini tidak menjadi sia - sia.

Disitu, aku terhenti seketika.

Fikiran aku waktu itu, seperti kepingan puzzle yang sedang selerak bertaburan. Nak aku susun semula puzzle, tapi tiada petunjuk untuk aku memandu. Keadaan semakin melarat. Dengan cara hidup aku yang tidak normal. Apa yang aku tahu, aku telah menghampakan mereka semua.

Hanya perkataan maaf dapat aku simpulkan.

Lepas perkara ini, aku lebih kepada berdiam diri. Segala harapan orang sekeliling untuk aku, aku tepis jauh - jauh. Jangan ada satu pun yang tersangkut pada aku.

Segala perbuatan aku dianggap berhasil, kerana sudah terdapat kata - kata dari manusia sekeliling, yang aku ni seorang yang tidak boleh diharap, atau lebih jujur tiada harapan.

Sebenarnya, tempat yang layak dan sepatutnya kita berharap adalah kepada tuhan. Aku hanyalah seorang hamba yang boleh kalian percaya, tetapi tidak boleh kalian yakin.

Percaya dan yakin, hanya pada tuhan.

Kamu semua jangan mengharap seratus peratus pada keupayaan aku yang memegang status hamba-Nya. Jadi atau tidak, itu adalah takdir dari Allah S.W.T.

Jumaat, Februari 22, 2013

hati bermonolog

pagi yang bugar
aku bernyawa elok
dosa masih bertakung
peluang tuhan dicampak buang

harap esok tidak.

Isnin, Februari 18, 2013

jadilah diri sendiri

Hahaha. Cermin itu berulang kali gelakkan aku, tidak tahu kenapa. Galak sangat tawanya.

"Woi cermin! kenapa kau gelakkan aku hah?" Haha, sebab rupa kau kelakar. Sudah macam badut sarkas ja aku tengok. Tapi kenapa cermin? kenapa kau kata aku macam tu? Mari sini, datang dekat aku, cuba cerminkan diri kau tu.

%*@$! Betul la cakap cermin, ini terlalu ekstrem untuk dipadan dengan aku. Sejak bila aku jadi macam ni cermin? Haha. Lama dah. Semenjak kau ber"pengetahuan" tentang dunia fesyen luar. Cumanya sekarang ni kau semakin menjadi - jadi. Sudah - sudahlah, tukar salin yang lain. Penonton dah pulang. Haha.

Rabu, Februari 13, 2013

di satu hari

petang ini panas manja
diusap gemalai angin
bibir lesi nyata

sang pokok terus menari
si burung bebas menyanyi
mata kuyu longlai
 
untuk apa aku disini?
biar mereka datang mencari
pejamkan mata
rasa seketika

biarkan aku
tersadai di rumah tuhan.




Rabu, Februari 06, 2013

nyaris - nyaris berlaku

Peristiwa lepas.

Aku membonceng motosikal kepunyaan ayah. Satu ketika aku berhenti di hadapan lampu isyarat yang sedang menunjukkan warna merah. Macam biasa,  aku yang berkeadaan bercermin mata Rayban-pasar-malam, lagak hebat sambil melihat kenderaan yang berlumba - lumba mengejar lampu isyarat mereka yang sedang hijau. Sambil itu, aku terperasan kereta di belakang aku ketika sengaja melihat cermin sisi motorsikal jenama Honda yang ditunggangi aku. Kelihatan kereta itu yang mahu membelok kekiri, keluar dari lorong yang aku gunakan.

Keadaan tergesa - gesa.

Dalam hati aku bermonolog, "Ini jalan aku, kalau nak terus tadi jangan masuk lorong ni!". Hati ini mulai panas, teringatkan kisah yang pernah terjadi sebelum ini. Situasi yang sama, cuma aku yang tidak bersalah disalahkan atas kekalutan yang dia sendiri bikin. Untuk kali ini, aku tidak mahu perkara yang sama berlaku. Aku bersedia untuk menghamburkan kata - kata yang sangat menyakitkan hati.

Aku perhati lagi melalui cermin sisi, kereta itu semakin bertegas mahu tunaikan hajatnya. Dia tidak nampak biji mata aku dibalik cermin mata hitam yang sedang tajam perhatikan dia. Macam pisau yang diasah tajam - tajam untuk dihunus tepat ke leher mangsa.

Menunggu untuk satu adegan yang aku tak pernah realisasikan.

Hon! jeritan hon kereta ditala tepat pada aku. Tangan ini terketar - ketar. Inilah masanya untuk menggunakan buku lima yang belum pernah makan siapa - siapa, mungkin ini adalah makanan pertama.

Aku toleh muka ke belakang berserta hati yang benar - benar mendidih untuk di curah sepenuhnya. Belum sempat aku mulakan dengan kata - kata, seorang lelaki yang masih muda menjelirkan kepalanya keluar dari tingkap bersama - sama tangan kanan yang dilambai sayu seraya berkata,

"Minta maaf ya adik, abang nak minta laluan sikit, maaf ya".

Hati yang mendidih tadi sepantas kilat menjadi sejuk seperti dituang ke dalam ribuan ketulan ais batu. Sejuk satu badan. Otot - otok muka aku menghasilkan senyuman menjawab apa yang dikatakan pemandu kereta itu. Aku mengangguk tanda aku mengalah.

Jika diteruskan lagi amarah tadi, macam - macam boleh jadi.

Astaghfirrullahhalazim... astaghfirrullahhalazim... astaghfirrullahhalazim...

Khamis, Januari 31, 2013

kadang - kadang macam tu

" yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing "

Tapi macam mana kalau aku seorang pikul yang berat, yang ringan kau jinjing. Adakah sama - sama?

Ahad, Januari 13, 2013

semua tentang kl

Ramai anak muda sukakan K.L. Mereka kata K.L tempat yang sesuai bagi anak - anak muda. K.L juga menjadi destinasi pilihan untuk berhijrah. Di sana, gajinya besar - besar, tempat tumpuan pelancong asing dunia. Orang K.L lebih maju kedepan. Kota yang sesuai untuk mencari rezeki tidak kira halal atau yang haram. Hinggakan sesetengah ahli musik, membuat lagu semata - mata untuk K.L.

Dan sekarang aku berpijak di bumi K.L.

"Macam ni ka K.L, nampaknya memang tidak sesuai untuk aku."

Selasa, Januari 01, 2013

hari pertama untuk tahun ini

Hari ini satu haribulan satu dua ribu tiga belas. Aku masih diberi nafas, masih punyai ibubapa. Dan aku juga memiliki nikmat dari Sang Pencipta, iaitu selsema. Aaammiinn.