Memaparkan catatan dengan label cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerita. Papar semua catatan

Selasa, Mei 12, 2015

kemalangan tak berbau

Kejadian itu berlaku pantas.

Rangga melihat dengan mata kepala, jaraknya hanya selang 2 buah kereta sedan. Motosikal jenama Yamaha berwarna merah itu hilang kawalan, tayar belakang melingkar seperti ular yang sedang berlari ketakutan. Semua itu berlaku dalam 3 saat.

"Allahuakbar! Allahuakbar!" jerit gelisah Rangga dalam hati

Kreekk. Jatuh. Tersungkur.

Mata rangga antara dua, kereta di belakang yang sedang mara laju, dan cu dengan chef yang rebah di atas tar hitam. Aqal Rangga pendek waktu itu, dengan pantas Rangga masuk lorong kiri, matikan enjin motosikal buatan Jerman yang juga warisan keluarganya.

Rangga berlari ke tengah jalan raya bagi mendapatkan mereka. Di tahan kereta yang berpusu - pusu di belakang tadi, syukur semuanya memberhentikan kenderaan. Cu juga bangun mendapatkan chef yang masih baring, mereka berlari ke tengah pembahagi jalan. Rangga mengangkat motosikal mereka dan menyadai di bahu jalan.

Kereta sedang sesak, penunggang motosikal yang lalu memberhentikan kenderaan bagi memberi bantuan. Jalan raya semakin sesak.

Rangga berlari kepada mereka di tengah pembahagi jalan. Cu hanya terbaring kesakitan, chef juga dalam kesakitan, tetapi masih lagi mampu berjalan. Rangga tiada pengalaman dalam merawat mangsa kemalangan, yang Rangga buat hanyalah melapikkan beg chef di belakang cu yang baring, agar cu dalam keadaan yang selesa.

Cu tidak boleh bergerak, pinggangnya terlalu sakit. Kerana hentakan yang kuat. Luka lama cu kembali terasa. Wajah cu masih tersenyum sakit. Cu tak mahu kami menjadi panik.

" Sikit saja ni, takdak apa la. Kalau boleh bangun, cu bangun la.." ujar cu yang masih berjubah belang usangnya yang tiada kesan koyakan.

Chef yang berjaket kulit hitam juga hanya mengatakan okay, tiada kesan luka yang teruk. Alhamdulillah. Salah seorang pengguna jalan raya yang datang menolong bertanya,
" Dah telefon ambulan ka?" Belum, jawab kami.

Chef menghubungi Zul yang juga salah seorang dari kami, tetapi Zul tidak bersama mengiringi perjalanan kami, Zul menggunakan lorong tikus bagi mengelakkan dari terserempak dengan sekatan jalan kerana lesen memandunya ketamatan tempoh 4 hari lepas.

Jam pukul 9.01 malam.

Tidak sampai 5 minit Zul sampai dengan seorang sahabat menaiki kenderaan buatan Malaysia. Lari Zul ke arah Rangga dan Cu. Zul memeriksa keadaan Cu yang masih terbaring senyap.

Selepas berbincang tentang dengan apa mahu menghantar Cu ke hospital, tiba - tiba van Jabatan Pertahanan Awam lalu disebelah dan berhenti. "Allah Maha Mengetahui", kata Rangga dalam diam.

Ahli - ahli Jabatan itu menolong kami mengangkat Cu yang tidak dapat bergerak ke atas pelantar dan dinaikkan ke atas van. Lalu terus mereka membawa ke Hospital.

"Chef macam mana?" soal Rangga.

Sakit pinggang ja, sikit ja.

Chef dan Rangga tidak ikut bersama, mereka kembali mendapatkan motorsikal masing - masing. Motorsikal Chef tiada kerosakan teruk, hanya sedikit kesan calar dan tayarnya yang pancit. Rangga mengekori Chef menunggang motorsikal dengan perlahan mencari kedai yang berdekatan untuk menukar tiub tayar.

Sabtu, Januari 18, 2014

sangkar kehidupan

Seekor merpati putih terkurung di dalam sangkar, hanya ada air dan makanan di sebelah. Sangkarnya dipenuhi hiasan batu - batu.

Datang seekor burung pipit menyinggahi merpati putih itu. Dia kasihani akan merpati putih itu yang terkurung, tidak bebas.

"Tidakkah kau mahu rasa bebas wahai merpati putih?" tanya burung pipit itu.

"Entahlah wahai pipit, disini aku dijaga oleh tuanku. Walau kaki diikat, tetapi makan dan minum aku juga terjaga." jawap si merpati putih dengan bunyi yang pasrah.

Diluar sana, juga tidak sebebas yang kita mahu. Pasti ada saja tentangan yang kita perlu hadapi. Mati tetap kita mati, cumanya berbeza situasi. Sambung merpati putih itu lagi.

"Pipit...."

"Ya" jawab si pipit.

Keluarga aku masih diluar sana, pastinya sekarang mereka tercari - cari aku dimana. Jika kau terjumpa mereka, tolong cakapkan yang aku okay disini.




Jumaat, Oktober 04, 2013

buat seorang sahabat

dia memang degil
tidak hadam nasihat aku

dulu kau taksub dengan cinta
hingga terlupa segala duka
mahu saja dibina istana
agar kalian boleh berasmara

satu masa semua musnah,
cita - cita terpadam
air mata peneman
hidup pula tidak keruan

diungkit - ungkit memori lama
dengan harapan utuh semula
sayangnya itu cuma igauan
sekali lagi air mata menjadi peneman

rasa duka, rasa kecewa
rasa sunyi, rasa terbuang
rasa celaka, rasa tuli

dia heret ke puncak
ramai yang sangsi
dia tidak peduli

sewaktu berkelana
diharap tiada apa - apa
memori masih menyala
katanya dengan nada yang hampa
semua itu perlukan masa
sabar la kawan

hari ini
dengan wajah yang gembira
dia bilang mahu bersama semula
dengan pengukir duka purba

aku terkesima

bersama bukan cara lama
bersama kali ini dengan restu
katanya dia dengan keyakinan

Alhamdulillah

"berkatilah mereka yang ikhlas Ya Allah"

Khamis, Ogos 01, 2013

tidak mustahil

Masing - masing punya idealoji sendiri. Dan ini aku punya.

Dalam soal angan. Aku lebih memilih untuk berharap sesuatu yang tidak mustahil. Untuk aku sentuh, rasa, dan miliki. Bukan juga bermaksud untuk aku terus bergelumang di dalam kotak sempit, ia kerana aku tidak mahu terus terkapit dalam kemurungan yang tidak berpenghujung. Itu semua hanya bikin aku lambat untuk melangkah. Dengan berharap sesuatu yang tidak mustahil itu, aku akan besarkan setiap penjurunya. Dari satu sudut ke satu sudut. Supaya aku selesa selama berharap.

"menunggu bulan jatuh, lebih parah dari menunggu buah kelapa jatuh"

Jumaat, Julai 26, 2013

tasauf

rasa - rasa yang ada;
wujud

tiadanya perupa, juga jisim

rasa yang semua miliki,
bezanya sikit atau banyak
sama ada perasan atau tidak

rasa itu terlalu rumit
yang susah dicerita
pada yang tak kisah

rasa - rasa yang dalam
tidak tercapai dek akal
yang tidak bertulang

rasa itu hidup dalam ruang
sebab aku rasa
rasa itu berbisik ampuh
sebab aku rasa
rasa itu melihat tajam
sebab aku rasa
rasa itu bicara puisi
sebab aku rasa

rasa - rasa yang ada
sangat dalam
di celah - celah kalbu

membungkam.


suasana asing,
Tanjung Bendahara,
17 Julai, 8 Ramadhan 1434M / 2013H,
Alor Setar.

Isnin, Julai 15, 2013

aku dan seram

aku bertimpuh,
memicit ketul tasbih
berkumat tuhan

jam,
suis,
katil,
sikat,
resit,
gitar,
radio,
kunci,
cadar,
kipas,
kasut,
bantal,
almari,
poster,
lampu,
kerusi,
syiling,
dinding,
sejadah,
gunting,
tali satu,
kalendar,
beg galas,
tetikus rosak,
kotak kosong,
komputer riba,
telefon bimbit,

semuanya memandang aku,
seram memang seram,
sebab aku seorang,
jadi aku diam.

Ahad, Jun 30, 2013

perokok yang dihormati

Kepada perokok,

bukan semua perokok hatinya jahat, bukan semua. Mereka itu ada yang lebih baik dari seseorang yang memakai kopiah putih. Salah seorang mereka juga mungkin pernah menyelamatkan seorang gadis dari dirogol penyamun berkumpulan.

Mungkin.

Tapi, masih ada tapi. Dari segi disiplinnya, sangat kritikal. Dicampakkan putung rokok merata - rata. Tidak kira tempat. Dan ianya suatu perbuatan yang sangat parah. Ingin sekali aku melihat perokok merenyuk - renyuk puntung hingga kecil jisimnya dan di masukkan dalam poket seluar (jika tiada tempat pembuangan).

Tiada sebegitu?

Cukuplah dibuang putung ke dalam tong sampah.

Rabu, April 17, 2013

lagi ramai, lagi rancak

Ramai orang berkerumun, macam ada orang jual ubat. Terus aku melangkah pergi ke situ untuk melihat. Nampaknya, seperti ada orang bergaduh. Mereka menangkap pencuri, aku tidak pasti dia curi apa, hanya dengar bisikan orang sekeliling. Ada juga yang berkata pergaduhan ini bermotifkan dendam.

Sepuluh mulut, sepuluh cerita lain.

Si pencuri tu dikepung, dikeliling orang yang mahu memukulnya. Si pencuri dipegang, dikawal rapi oleh lelaki berbadan besar. Takut dia lari.

*dush

Satu kaki menghinggap di perut si pencuri tu, dan di hinggap berkali - kali. "Mungkin dia ni kot mangsa si pencuri tu." teka aku dalam hati.

Kemudian, datang seorang lagi lelaki, dari cara pakaiannya, dia ni pengawal di pasaraya berdekatan. Tanpa memberi salam, dia sedekahkan sepak terajang dia kat si pencuri tu dengan bersarungkan but. Memang habuan si pencuri tu.

"Dia ni ada kena - mengena juga ka?" bisik aku lagi dalam hati. Tertanya - tanya. Apa salah si pencuri tu, dia curi apa. Tak boleh ka selesai cara baik?

Dalam situasi kelam kelibut disitu, ada juga yang tanpa segan silu turut menyumbangkan kaki - kaki mereka untuk dijamu pada si pencuri tu. Bukan seorang, ramai. Macam ada pesta.

Orang semakin ramai, yang lalu lalang berhenti untuk melihat. Semua pemukul si pencuri tu aku kenal, sebab di situ - lah tempat mereka berkumpul, melepak, berborak.

Lunyai si pencuri tu, kemudian mereka bawa dia pergi dari situ. Entah, apa nasibnya selepas ini. Aku tidak tahu. Wallahu a'lam.

Bagi aku, cukuplah seorang yang memukul dia ( walaupun aku tak setuju dia dipukul ). Masih banyak cara untuk diselesaikan, bukan guna perasaan, gunalah panduan agama.

Kenapa mesti memukul beramai - ramai? Adakah sebab ramainya penonton? atau sebab ada kumpulan?

Nak tunjuk hebat bagai.
Mahukan pujian.

Aku cakap atas pengalaman diri sendiri. Bila ramai, kekadang ada saja yang aku nak tunjuk hebat. Bila tidak jadi, malu aku dapat.

Pergaduhan tu orang melayu, dan aku tak khususkan untuk melayu saja. Ini untuk semua, yang apabila ramai kuat, bila sorang - sorang penakut.



Sabtu, April 13, 2013

hilangnya sebuah komunikasi

Duduk semeja, kami berlima. Di kedai makan PakMan.

Kawan - kawan tiada masa lagi untuk berborak, tentang isu kemanusiaan, tentang kucing sebelah rumah, tentang nasi goreng yang aku masak petang tadi. Kita berlima, tapi rasa macam aku seorang saja di meja ni.

Fokus mereka tertumpu dengan gajet - gajet yang canggih. Masing - masing bersembang tentang whazap, internet percuma, laman sosial, dan benda-alah-yang-aku-tak-tahu.

Aku pula pura - pura faham apa yang diperkatakan mereka, sambil menggenggam seketul "tablet" Nokia 1280 hitam.


p/s:  sekurang - kurangnya, kalau nak periksa minyak motor, telefon bimbit aku berguna jugak.

Rabu, April 10, 2013

aku tak gila

dok!

kenapa dikurung diri saya?
saya bukan orang jahat

dok!

saya cuma nakkan ubat
bukan tinggal disini

dok!

lantainya kotor
pintunya bertirai besi
kasihani - lah saya

dok!
dok!

lepaskan saya dok!

dok!

saya merayu dibukakan pintu
untok saya keluar

dok!

jangan senyap dok!
saya bukan orang gila!
dok yang gila sebenarnya!

bukak dok!
bukak!
bukak!

jika tidak
saya bunuh dok!

Rabu, Mac 27, 2013

marah diganti dengan kasih sayang

Bila sedang mereka susun batu - bata itu meninggi, kemudian kita runtuhkan. Selerak berteraburan. Sudah pastinya mereka  marah. Apabila giliran kita pula yang menyusun batu bata, mereka runtuhkan untuk membalas dendam. Coba kita gantikan kemarahan dalam diri dengan rasa kasih sayang untuk mereka.

 Agak - agak mampu tak?
 






Rabu, Mac 20, 2013

terhalang #2

Pertama sekali dengan tuhan, kemudian guru, dan orang rapat. Semua sudah aku aku rujuk. Hati masih lagi tunggang langgang.

Akhir sekali aku cakap dengan dia. Minta nasihat untuk diri aku. Dia tanya aku satu soalan yang aku tak boleh jawap. Aku senyap.

Dulu aku hebat sangat, katanya aku kenal diri aku sendiri. Walhal tidak pun, orang sekeliling sebenarnya lebih mengetahui tentang diri aku. Aku sedar, dan aku tak nafikan yang aku ni

lalang.

Berdasarkan sejarah hidup aku yang lepas, mereka kecewa. Bukan sekali, berkali - kali. Semuanya tidak pernah sudah.

"kalau betul hati hang cinta tuhan, dok mana pun tetap hang cintakan tuhan. Kalau hang betul - betul cinta la."

*bisu

Mintak maaf, mintak maaf untuk kali ke-seratus juta. Ini bukan simpati atau penulisan untuk raih kesedihan. Ini nukilan ikhlas untuk manusia seperti aku. Hanya yang rasa, akan mengerti.

Terima kasih kakak, atas nasihat yang benar - benar berisi.

Rabu, Mac 06, 2013

harapan manusia pada manusia

Fasa persekolahan.

Ketika dalam tahun - tahun akhir. Di antara banyak - banyak pelajar, aku telah dipilih untuk menjadi orang harapan pada seorang guru. Harapan itu cuma pada mata-pelajaran yang guru itu ajar sahaja. Bukan keseluruhan. Dek kerana minat akan mata-pelajaran itu juga, aku terus berusaha untuk berjaya. Apa saja yang guru itu minta, akan aku lakukan.

Aku perasan rakan sekeliling mengatakan aku kaki bodek. Ya, sejujurnya begitulah.

Selepas tamatnya persekolahan, aku beroleh keputusan apa yang mereka harapkan. Walaupun mata-pelajaran yang lainnya tidak memberangsangkan, tetapi bersyukur tidak gagal. Aku telah diminta guru untuk terbang lebih tinggi agar pencapaian ini tidak menjadi sia - sia.

Disitu, aku terhenti seketika.

Fikiran aku waktu itu, seperti kepingan puzzle yang sedang selerak bertaburan. Nak aku susun semula puzzle, tapi tiada petunjuk untuk aku memandu. Keadaan semakin melarat. Dengan cara hidup aku yang tidak normal. Apa yang aku tahu, aku telah menghampakan mereka semua.

Hanya perkataan maaf dapat aku simpulkan.

Lepas perkara ini, aku lebih kepada berdiam diri. Segala harapan orang sekeliling untuk aku, aku tepis jauh - jauh. Jangan ada satu pun yang tersangkut pada aku.

Segala perbuatan aku dianggap berhasil, kerana sudah terdapat kata - kata dari manusia sekeliling, yang aku ni seorang yang tidak boleh diharap, atau lebih jujur tiada harapan.

Sebenarnya, tempat yang layak dan sepatutnya kita berharap adalah kepada tuhan. Aku hanyalah seorang hamba yang boleh kalian percaya, tetapi tidak boleh kalian yakin.

Percaya dan yakin, hanya pada tuhan.

Kamu semua jangan mengharap seratus peratus pada keupayaan aku yang memegang status hamba-Nya. Jadi atau tidak, itu adalah takdir dari Allah S.W.T.

Rabu, Februari 06, 2013

nyaris - nyaris berlaku

Peristiwa lepas.

Aku membonceng motosikal kepunyaan ayah. Satu ketika aku berhenti di hadapan lampu isyarat yang sedang menunjukkan warna merah. Macam biasa,  aku yang berkeadaan bercermin mata Rayban-pasar-malam, lagak hebat sambil melihat kenderaan yang berlumba - lumba mengejar lampu isyarat mereka yang sedang hijau. Sambil itu, aku terperasan kereta di belakang aku ketika sengaja melihat cermin sisi motorsikal jenama Honda yang ditunggangi aku. Kelihatan kereta itu yang mahu membelok kekiri, keluar dari lorong yang aku gunakan.

Keadaan tergesa - gesa.

Dalam hati aku bermonolog, "Ini jalan aku, kalau nak terus tadi jangan masuk lorong ni!". Hati ini mulai panas, teringatkan kisah yang pernah terjadi sebelum ini. Situasi yang sama, cuma aku yang tidak bersalah disalahkan atas kekalutan yang dia sendiri bikin. Untuk kali ini, aku tidak mahu perkara yang sama berlaku. Aku bersedia untuk menghamburkan kata - kata yang sangat menyakitkan hati.

Aku perhati lagi melalui cermin sisi, kereta itu semakin bertegas mahu tunaikan hajatnya. Dia tidak nampak biji mata aku dibalik cermin mata hitam yang sedang tajam perhatikan dia. Macam pisau yang diasah tajam - tajam untuk dihunus tepat ke leher mangsa.

Menunggu untuk satu adegan yang aku tak pernah realisasikan.

Hon! jeritan hon kereta ditala tepat pada aku. Tangan ini terketar - ketar. Inilah masanya untuk menggunakan buku lima yang belum pernah makan siapa - siapa, mungkin ini adalah makanan pertama.

Aku toleh muka ke belakang berserta hati yang benar - benar mendidih untuk di curah sepenuhnya. Belum sempat aku mulakan dengan kata - kata, seorang lelaki yang masih muda menjelirkan kepalanya keluar dari tingkap bersama - sama tangan kanan yang dilambai sayu seraya berkata,

"Minta maaf ya adik, abang nak minta laluan sikit, maaf ya".

Hati yang mendidih tadi sepantas kilat menjadi sejuk seperti dituang ke dalam ribuan ketulan ais batu. Sejuk satu badan. Otot - otok muka aku menghasilkan senyuman menjawab apa yang dikatakan pemandu kereta itu. Aku mengangguk tanda aku mengalah.

Jika diteruskan lagi amarah tadi, macam - macam boleh jadi.

Astaghfirrullahhalazim... astaghfirrullahhalazim... astaghfirrullahhalazim...

Ahad, Disember 02, 2012

kembali untuk bermimpi

Aduh! sakitnya leher. Lenguh satu badan. Lama benar aku tidur. Rasanya sudah berhari - hari. Eh! berbulan - bulan rasanya. Pinggang ni rasa kebas sangat - sangat.

Banyak yang aku telah aku tinggalkan. Keluarga, sahabat, cinta, dunia. Segalanya dalam bentuk fizikal. Sesekali lahir juga rasa rindu aku pada mereka. Luahan perasaan.

Sudah jauh pengembaraan aku ketika sedang tidur. Pengembaraan ini bermula ketika aku tertanya - tanya tentang teka teki di dalam fikiran. Aku ghairah untuk mencari sang jawapan dari setiap teka teki yang telah lama aku simpan. Dari satu tempat ke satu tempat, di setiap ruang mimpi aku cabul. Dan aku temui jua sang jawapan. Tapi belum cukup kuat.

Hingga tiba - tiba aku terjaga dari ruang mimpi, bertemu realiti. Ruang itu terus hilang diganti realiti.

Aku mahu kembali di dalam mimpi itu lagi, terus mencari sang jawapan. Aku perlu korek dengan lebih dalam. Mencabul segala apa yang ada. Ruang itu terlalu dalam untuk dihabisi oleh aku seorang.

Tekak benar - benar haus ni. Minum sebentar.

Sambung tidur.

Isnin, November 12, 2012

pembaziran yang tidak sepatutnya

Tiadakah mereka rasa bersalah apa yang mereka lakukan?

Makanan seringkali dibaziri. Alasan kebiasaannya, sudah kenyang, tidak sedap, tadi nampak macam sedikit. Kalau sudah berkali - kali kau membazir, masa akan datang kau kurangkanlah apa yang kau makan. Seharusnya kau lebih tahu keupayaan diri sendiri. Jangan haloba macam kau boleh langsaikan semuanya.

Aku sedih melihat makanan yang banyaknya dibuang, dek sikap manusia. Hal ini mungkin remeh bagi orang lain, tetapi tidak bagi aku.

Kau ada wang? ya! aku tahu. Jangan kau ceritakan pada aku. Kau cerita pada tuhan nanti.

Rabu, Oktober 10, 2012

kasih ali kepada kucing

Jalan raya sesak. Seekor anak kucing dilanggar.

Ali segera turun dari kenderaan menyelamatkan anak kucing. Ikhlas. Tanpa menghirau kenderaan yang berpusu - pusu. Seorang pemuda nasihat agar tidak diselamatkan anak kucing itu,dikhuatiri akan membuatkannya tersiksa kesakitan kalau hidup.

"Habis! cuba kalau kau sedang nazak, tiada satu orang pun disebelah kau, mengajar kau mengucap! apa kau mahu keadaan begitu?!" bisik marah dalam hatinya.

Anak kucing itu diusung di tepi jalan. Nafasnya tercungap - cungap. Segera Ali memasukkannya di dalam raga dan segera berhempas pulang.

Setibanya di rumah, Ali meletakkannya di atas baju lama yang tidak di sarungkan lagi. Mencapai sebotol minyak gamat untuk dilumurkan pada kaki anak kucing itu, sambil memujuknya. Seraya berkata "Ala comel, bukan sakit pun. Nanti - nanti baik la. Jangan menangis. Sabar ya!".

Ali masuk mandi sebentar. Dibiarkan kucing itu bersama ahli keluarga Ali. Sesudah selesai mandi, Ali bergegas mahu keluar sebentar. Kelihatan anak kucing itu sangat tenat, dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Sedih menyelubungi Ali bersama perasaan bersalah.

Keesokan harinya, Ali menanamnya sambil ditemani rasa hiba.

Rabu, Jun 06, 2012

hanya kami bertiga saja malam itu

Blup! blup! enjin kereta mati.

Minyak habis pulak time - time macam ni, memang dugaan betoi. "Aku nak balik ambik moto beli minyak, hang tunggu sini sat Angah, jaga kereta. Walaupun buruk, tapi berharga", kata aku kepada Angah.

Hanya kami bertiga saja, Wan, Angah, dan aku.

"Aku ikut hang wei!", kata Wan sambil berjalan mengikut dari belakang. Aku takmau tunggu sini wei, aku nak ikut hampa jugak. Angah turut bersuara.

"Penakut la hang Angah, dok la sini sat".

Kami bertiga tolak kereta ke menuruni jambatan. Di depannya ada kedai, rasanya lebih selamat aku letak kereta disana.

Disini, Angah lebih selamat dari bahaya, sebab disini cerah disuluh lampu jalan. Aku dan Wan berjalan pulang ke rumah meninggalkan Angah bersama kereta. Kami melalui sebatang jalan Kampung. Ianya lebih dekat.

Jam tangan menunjukkan sudah pukul 1.34 pagi.

Lampu jalan hanya beberapa tiang saja setiap perjalanan, itupun malap. Kami terus berjalan, hanya ditemani bunyi tapak kaki kami saja yang kedengaran buat masa sekarang, dan suara kami bergelak ketawa mempersendakan Angah yang ketakutan.

Setibanya kami di depan masjid, sebelahnya tanah perkuburan. Wan tidak berkata apa - apa. "Aku tahu dia mesti tengah takut", kata aku dalam hati.

Pulangkan! Pulangkan! aku menakutkan Wan dengan nada yang sangat garau. Wan marah. "Hang ni jangan main - main, satgi jadi sunggoh baqu hang tau". Aku ketawakan Wan.

Tang! Tum! bunyi sesuatu.

Aku toleh ke belakang, tiada apa - apa pun yang kelihatan. Tapi, bunyi macam ada benda jatuh atas bumbung. Tiba - tiba bulu aku meremang. Seram sejuk seluruh badan. Perasaan seronok bertukar menjadi takut.

"Wan! hang rasa dak apa yang aku rasa?!". Wan diam, mukanya toleh ke bawah. "Woi! hang ni awat senyap ja?!". Aku dekati Wan, dan pegang bahunya.

Hahaha! Hahaha! Wan ketawa terbahak - bahak, mukanya pucat, matanya merah.

Suaranya pun sudah lain. Aku bertambah takut. Wan sudah dirasuk barangkali. Dia memegang tangan kiri aku dengan kuat sekali. Kekuatan itu nampaknya bukan kudrat manusia biasa. Tangan kanan aku cepat - cepat membuka ikatan tangannya untuk melepaskan diri.

"Aku mahu kau mati!", kata Wan dengan suara yang sangat marah.

Bau kemenyan sangat kuat. Hanya kami berdua disini. Aku betul - betul takut.

Tanpa berfikir panjang aku terus flying kick dengan sekuat hati tepat di perutnya. Wan jatuh. Doa - doa yang diajar ustaz semasa mengaji dulu hilang dari ingatan tatkala aku dalam ketakutan.

Terus aku berlari dengan berkaki ayam meninggalkannya. Sekarang ni aku hanya mahu segera sampai di rumah. Rasa penat aku lupakan seketika.

Berlari dan terus berlari meloloskan diri dari pandangan Wan yang sedang dirasuk.

Akhirnya sampai dirumah. Nafas aku tercungap - cungap. Peluh memeleleh sepertinya baru lepas mandi. Tangan aku masih menggeletar ketakutan. Aku terfikirkan nasib Wan yang aku tinggalkan.

"Cari la tong minyak wei! Dok termenung apa lagi! Aku kiqa nak balik tidoq ja ni!", Wan marahkan aku.

"Ah! Ok - ok, aku dok caqi la ni. Hang pon caqi la sama". Aku balas kata - kata Wan.

Oh Shit! itu hanyalah khayalan aku. Sepanjang perjalanan tidak ada satu pun hantu yang muncul. Bila aku melihat kubur ja mesti akan fikir yang bukan - bukan.

WTF! Memang aku ni banyak tonton filem seram la.

Rabu, Februari 22, 2012

rahsia itu dirahsiakan

Terdapat sebuah kampung di penghujung jalan, Kampung itu diberi nama Kampung Tolok.

Tinggal seorang penduduk di situ yang bernama Abu. Rakan karibnya pula bernama Ali. Mereka membesar bersama - sama. Sehinggakan penduduk kampung disitu memanggil mereka dengan gelaran adik dan abang.

Abu ada satu rahsia besar, dia sepertinya mahu dirahsiakan. Tetapi dia juga perlukan seseorang untuk mendengarnya, supaya hati dia lebih tenang. Abu rasakan Ali adalah orang yang paling sesuai untuk berkongsi rahsianya.

Abu pun ceritakan rahsianya pada Ali untuk ringankan beban yang telah lama bersarang. Ali telah berjanji untuk simpan dengan kemas rahsia Abu.

Pada suatu hari, kawan Ali yang bernama Hisyam mengajak Ali pergi melepak di warung hujung kampung mereka. Masing - masing leka dengan perbualan kosong, tanpa sedar Ali menceritakan rahsia Abu kepada kawannya.

Ali mahukan Hisyam supaya berjanji tidak menceritakan rahsia Abu kepada orang lain. Itu hanya rahsia mereka berdua. Hisyam pun mengikat janji dengan Ali.

Hisyam pulang memandangkan hari semakin senja. Dalam perjalan pulang, tiba - tiba kawan sekerja telefon Hisyam untuk menanyakan tentang hal - hal pejabat. Selesai bincang Hisyam juga menceritakan rahsia yang dia telah berjanji dengan Ali tentang Abu.

Apa - apa pun Hisyam mahukan rakan sekerja yang bernama Ahmad supaya simpan rahsia dengan baik - baik dan tidak diceritakan kepada orang lain.

Dalam keluarga Ahmad, dia anak tunggal. Ahmad paling rapat dengan Ayahnya yang juga seorang pesara. Mereka selalu berbual tentang hal - hal keluarga. Secara tidak langsung, Ahmad pula menceritakan rahsia Abu dengan Ayahnya. Ahmad rasakan yang Ayahnya orang yang berpegang pada janji. Dia meminta ayahnya rahsiakan dari pegetahuan orang lain. Supaya rahsia itu tidak diketahui orang lain.

Dan sehingga kini rahsia itu dirahsiakan dari seorang ke seorang.


Lokasi : Bukit Merah.

Ahad, September 25, 2011

aku dan pakcik yang tak dikenali

Petang yang terik.

Aku dan kawan menunggang motosikal. Seorang sebijik, lain - lain jenis. Dengan satu tujuan, iaitu menuju ke Pekan.

Lampu traffic light merah. Aku berhenti.

Aku betul - betul di barisan hadapan garisan jalan. Kawan aku pula tepat di kiri aku. Mata aku tajam memerhatikan lampu traffic light merah bertukar hijau. Tunggu dan terus menunggu.

Muka aku ditutup dengan visor helmet.

Seorang penunggang motosikal berhenti di sebelah kanan aku, jaraknya mungkin se-depa. Umurnya boleh dikategorikan sebagai pakcik. Dari caranya, pakaiannya, mungkin dia seorang pesara. Mungkin.

Aku terlihat sesuatu.

Lampu bertukar hijau. Kenderaan berpusu - pusu menuju ke destinasi masing - masing. Pakcik tu jugak, aku fikir. Aku lekas - lekas mengekorinya dengan satu tujuan yang terdetik di hati. Kawan aku terus ikut tanpa mengetahui perkara sebenar.

Aku terus mengekorinya.

Pakcik itu perasan kehadiran aku selepas ternampak aku di cermin sisinya yang cuma ada disebelah kanan motosikalnya. Dia semakin laju, tunggangannya juga sudah lain. Seperti dikejar anjing.

Pecut.

Aku teruskan mengekorinya. Semakin laju pakcik itu, selaju itu juga aku mengejarnya. Hingga tiba di satu selekoh simpang tiga. Tidak jauh dengan tempat mula - mula terserempak dengan pakcik tu.

Pakcik itu yang sudah kelihatan surrender memperlahankan motosikalnya. Aku rapat menghampiri, dan terus rapat hingga aku betul - betul berada di sebelah kanannya.

Matanya tajam merenung aku.

Aku yang juga sedikit sebanyak timbul perasaan takut dengan renungannya, menyelak visor yang menutup muka dan terus mengeluarkan kata - kata yang aku perapkan seketika dalam hati aku semasa berhenti di traffic light tadi.

Dengan jeritan yang dapat didengarinya untuk lebih meyakinkan pakcik itu.

"Pakcik! tongkat motor pakcik tak tutup!"


Keretapi Tanah Melayu