Rabu, Februari 06, 2013

nyaris - nyaris berlaku

Peristiwa lepas.

Aku membonceng motosikal kepunyaan ayah. Satu ketika aku berhenti di hadapan lampu isyarat yang sedang menunjukkan warna merah. Macam biasa,  aku yang berkeadaan bercermin mata Rayban-pasar-malam, lagak hebat sambil melihat kenderaan yang berlumba - lumba mengejar lampu isyarat mereka yang sedang hijau. Sambil itu, aku terperasan kereta di belakang aku ketika sengaja melihat cermin sisi motorsikal jenama Honda yang ditunggangi aku. Kelihatan kereta itu yang mahu membelok kekiri, keluar dari lorong yang aku gunakan.

Keadaan tergesa - gesa.

Dalam hati aku bermonolog, "Ini jalan aku, kalau nak terus tadi jangan masuk lorong ni!". Hati ini mulai panas, teringatkan kisah yang pernah terjadi sebelum ini. Situasi yang sama, cuma aku yang tidak bersalah disalahkan atas kekalutan yang dia sendiri bikin. Untuk kali ini, aku tidak mahu perkara yang sama berlaku. Aku bersedia untuk menghamburkan kata - kata yang sangat menyakitkan hati.

Aku perhati lagi melalui cermin sisi, kereta itu semakin bertegas mahu tunaikan hajatnya. Dia tidak nampak biji mata aku dibalik cermin mata hitam yang sedang tajam perhatikan dia. Macam pisau yang diasah tajam - tajam untuk dihunus tepat ke leher mangsa.

Menunggu untuk satu adegan yang aku tak pernah realisasikan.

Hon! jeritan hon kereta ditala tepat pada aku. Tangan ini terketar - ketar. Inilah masanya untuk menggunakan buku lima yang belum pernah makan siapa - siapa, mungkin ini adalah makanan pertama.

Aku toleh muka ke belakang berserta hati yang benar - benar mendidih untuk di curah sepenuhnya. Belum sempat aku mulakan dengan kata - kata, seorang lelaki yang masih muda menjelirkan kepalanya keluar dari tingkap bersama - sama tangan kanan yang dilambai sayu seraya berkata,

"Minta maaf ya adik, abang nak minta laluan sikit, maaf ya".

Hati yang mendidih tadi sepantas kilat menjadi sejuk seperti dituang ke dalam ribuan ketulan ais batu. Sejuk satu badan. Otot - otok muka aku menghasilkan senyuman menjawab apa yang dikatakan pemandu kereta itu. Aku mengangguk tanda aku mengalah.

Jika diteruskan lagi amarah tadi, macam - macam boleh jadi.

Astaghfirrullahhalazim... astaghfirrullahhalazim... astaghfirrullahhalazim...

Khamis, Januari 31, 2013

kadang - kadang macam tu

" yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing "

Tapi macam mana kalau aku seorang pikul yang berat, yang ringan kau jinjing. Adakah sama - sama?

Ahad, Januari 13, 2013

semua tentang kl

Ramai anak muda sukakan K.L. Mereka kata K.L tempat yang sesuai bagi anak - anak muda. K.L juga menjadi destinasi pilihan untuk berhijrah. Di sana, gajinya besar - besar, tempat tumpuan pelancong asing dunia. Orang K.L lebih maju kedepan. Kota yang sesuai untuk mencari rezeki tidak kira halal atau yang haram. Hinggakan sesetengah ahli musik, membuat lagu semata - mata untuk K.L.

Dan sekarang aku berpijak di bumi K.L.

"Macam ni ka K.L, nampaknya memang tidak sesuai untuk aku."

Selasa, Januari 01, 2013

hari pertama untuk tahun ini

Hari ini satu haribulan satu dua ribu tiga belas. Aku masih diberi nafas, masih punyai ibubapa. Dan aku juga memiliki nikmat dari Sang Pencipta, iaitu selsema. Aaammiinn.

Khamis, Disember 27, 2012

jiwa mereka jiwa aku hanya satu

Kaum Ibu ralit gelak tawa saling bertukar cerita kejayaan anak emas. Berjawatan tinggi, pegawai besar. Semuanya kerja yang layak disembah oleh ribuan manusia. Ibu - ibu tersebut gembira apa yang dikecapi oleh si anak.

Tapi, Ibuku jarang sekali berkumpul dan berborak akan perihal anak - anak. Seringkali dia mengelak dari mulut masyarakat yang dahagakan sesuatu hal. Dia hanya sekadar menumpang gembira akan kejayaan anak para teman - temannya. Ada tikanya dia perlu bersuara untuk memuaskan pertanyaan mereka. Tatkala itu, wajahnya yang senantiasa terukir senyuman manis, aku tahu di dasar hatinya ibarat kulit yang tercucuk selumbar.

Tangisan jiwa seorang Ibu.

Sering aku memohon ampun di dalam kotak hati yang tidak berpenghuni. Mengadu pada tuhan, ampunkan anak yang durhaka ini. Kerana menghuru - harakan hati seorang ibu hingga gundah gulana.

Aku tidak mampu gembirakan hati ibubapa dengan berpasang - pasang kot hitam berjenama dunia, kasut kilat dari butik barat, kereta yang bulan - bulan dibayar sebanyak wang gaji seorang peguam. Juga dengan sekeping kertas kuning yang digulung bermohor dari orangnya separuh tuhan.

Aku buta dunia!

Ibu, Ayah! aku punya cita yang lebih dari itu. Ingin aku menghasilkan sebuah kapal, agar dapat mencabul langit ketujuh. Berkawan dengan Sang Pencipta ribuan juta jiwa. Disana.

Ibu, ayah! aku tidak punyai material yang banyak, ambillah jiwa aku. Untuk didagangkan pada hatimu yang gundah. Mungkin jiwa aku lebih mahal dari seutas rantai emas, atau tidak lebih dari selipar cabok.



Pusat Kota Alor Setar.
Selasa, 3:00 petang.
25 disember 2012.
12 Safar 1434 H.




Rabu, Disember 12, 2012

sebenarnya mereka adalah hamba

mereka semua penzina,
sanggop senggama di depan tuhan,
sungguh maha berani penzina celaka itu,
tiada rasa hamba dalam jiwa,

disoal, dimarahi,
benar - benar hati mati,

tunggulah,
tika sang pencipta murka,
maharaja kembali hamba,

si penyoal,
sama si penzina,
sama - sama rebah,
dimakan bumi,
celakalah semua,

balasan untok segerombolan,
kerana penzina,
pelaku dosa.

Ahad, Disember 02, 2012

kembali untuk bermimpi

Aduh! sakitnya leher. Lenguh satu badan. Lama benar aku tidur. Rasanya sudah berhari - hari. Eh! berbulan - bulan rasanya. Pinggang ni rasa kebas sangat - sangat.

Banyak yang aku telah aku tinggalkan. Keluarga, sahabat, cinta, dunia. Segalanya dalam bentuk fizikal. Sesekali lahir juga rasa rindu aku pada mereka. Luahan perasaan.

Sudah jauh pengembaraan aku ketika sedang tidur. Pengembaraan ini bermula ketika aku tertanya - tanya tentang teka teki di dalam fikiran. Aku ghairah untuk mencari sang jawapan dari setiap teka teki yang telah lama aku simpan. Dari satu tempat ke satu tempat, di setiap ruang mimpi aku cabul. Dan aku temui jua sang jawapan. Tapi belum cukup kuat.

Hingga tiba - tiba aku terjaga dari ruang mimpi, bertemu realiti. Ruang itu terus hilang diganti realiti.

Aku mahu kembali di dalam mimpi itu lagi, terus mencari sang jawapan. Aku perlu korek dengan lebih dalam. Mencabul segala apa yang ada. Ruang itu terlalu dalam untuk dihabisi oleh aku seorang.

Tekak benar - benar haus ni. Minum sebentar.

Sambung tidur.

Jumaat, November 16, 2012

perbualan dengan Paksu Yob

Yang ni nama apa?
Saya ka?
Ya.
Nama saya Megat Khairulizwan Bin Megat Shaharin.
Dok di mana?
Aaa.. Saya dok di Mergong, Alor Setar.
Belajar di mana?
Saya bekerja.

Megat ni kena selalu jaga mata.
Ya, baik. InsyaAllah.

Isnin, November 12, 2012

pembaziran yang tidak sepatutnya

Tiadakah mereka rasa bersalah apa yang mereka lakukan?

Makanan seringkali dibaziri. Alasan kebiasaannya, sudah kenyang, tidak sedap, tadi nampak macam sedikit. Kalau sudah berkali - kali kau membazir, masa akan datang kau kurangkanlah apa yang kau makan. Seharusnya kau lebih tahu keupayaan diri sendiri. Jangan haloba macam kau boleh langsaikan semuanya.

Aku sedih melihat makanan yang banyaknya dibuang, dek sikap manusia. Hal ini mungkin remeh bagi orang lain, tetapi tidak bagi aku.

Kau ada wang? ya! aku tahu. Jangan kau ceritakan pada aku. Kau cerita pada tuhan nanti.

Khamis, November 08, 2012

aku pelik, kau pelik - pelik

Ruang - ruang sekeliling menjadi pelik di muka bumi, pelik di mata manusia yang melihat, yang mendengar, yang bercakap. Memang benar - benar pelik.

Pelik ya? aku pun pelik juga.

Peliknya baju dia,
peliknya cara dia,
peliknya bicara dia,
peliknya pemikiran dia,
peliklah semua tentangnya.

Dan sekarang aku pulak yang pelik, dari pandangan manusia yang pelik - pelik.

Kau pun pelik juga?


Cinta pada - Nya, cinta selamanya.

Sabtu, November 03, 2012

apabila tuhan marah

Kelmarin agama kita dihina dengan tayangan video yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. Nabi yang akan memberi syafaat kepada kita, yang kita sayangi. Kekasih Allah dan makhluk yang paling mulia.

Dan hari ini, murka tuhan dapat dilihat dengan terjadinya ribut Sandy di Kota New York. Juga berdekatan kediaman si pengarah video dan si pelakunnya.

Satu kebetulan? Oh! Tentunya tidak!


Aku bersimpati untuk mereka yang tidak berdosa.